Monday, July 4, 2022

Saifuddin gesa kerajaan bendung politik perkauman, elak permusuhan, keganasan

Menurut Saifuddin, politik perkauman adalah punca pelbagai masalah dalam negara.

Other News

Kerajaan harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membendung dan mengelakkan sebarang elemen politik perkauman di negara ini daripada terus berleluasa, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata ini kerana elemen tersebut seperti ungkapan kebencian (hate speech) banyak membawa kepada faktor permusuhan sehingga boleh menyebabkan keganasan berlaku dalam sesebuah negara.

“Saya anggap politik perkauman itu sebagai dasarnya iaitu dari situ bermula penyakit-penyakit lain, kalau ada kerajaan yang mengizinkan diskriminasi kaum berlaku, maka dari situ wujudnya masalah.

“Ini kerana daripada situ diskriminasi kaum itu boleh berlaku seperti dari segi penggunaan undang-undang, dasar, institusi awam, program kerajaan yang akhirnya tiada lain selain usaha untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Webinar Manifestasi Falsafah Hidup Bersama Dalam Budaya Damai di Ruang Digital anjuran Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) hari ini.

Saifuddin berkata bagi membendung perkara itu, sikap toleransi, memahami dan meraikan kepelbagaian budaya dan kaum perlu menjadi paksi dalam mewujudkan persekitaran hidup bersama dalam budaya damai.

Katanya konsep wasatiyyah, iaitu bersederhana dalam mengamalkan budaya yang berbeza, juga perlu diterapkan supaya rakyat dapat meraikan kemajmukan dan menyantuni semua golongan tanpa diskriminasi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles