- Iklan -
Berita

28% kanak-kanak lengkap divaksinasi, 45% terima dos pertama

Sementara itu, 68.2% dewasa telah menerima dos penggalak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak tenang menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICKids. Gambar: Bernama
Seorang kanak-kanak tenang menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICKids. Gambar: Bernama

Sebanyak 993,652 atau 28% kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Menurut laman web CovidNow, sebanyak 1,596,416 kanak-kanak atau 45% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,901,725 atau 93.3% telah lengkap vaksinasi manakala 2,999,490 atau 96.4% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam masa sama, sejumlah 16,057,632 atau 68.2% golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22,970,424 atau 97.6% telah lengkap dua dos dan 23,245,673 atau 98.8% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 37,536 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam melibatkan 16,994 dos pertama, 16,459 dos kedua dan 4,083 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,551,572.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan dua kes dilaporkan di Perak, dan masing-masing satu kes di Perlis dan Selangor.