Monday, May 16, 2022

451 laporan kesan sampingan vaksin selesai disiasat, tiada kes kematian berkait vaksin

Dapatan itu adalah sebahagian dari 607 laporan AEFI serius yang diterima melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

Other News

Berdasarkan 451 laporan berhubung kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19 yang selesai disiasat dan dinilai oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK), didapati tiada kes kematian yang dilaporkan mempunyai hubung kait secara langsung dengan vaksin diterima.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata dapatan itu adalah sebahagian daripada 607 laporan AEFI serius yang diterima melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19, dengan 156 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai oleh JFK.

“Semua laporan AEFI serius yang diterima memerlukan penyiasatan lengkap dan penilaian terperinci sebelum hubung kait kesan yang dilaporkan dan vaksin yang diterima dapat ditentukan,” katanya dalam taklimat bersama media mengenai AEFI vaksin Covid-19 secara maya hari ini.

Dr Roshayati  berkata sistem pelaporan AEFI NPRA secara keseluruhan telah menerima sejumlah 25,746 laporan AEFI vaksin Covid-19, termasuk 1,411 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 182 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Katanya hasil penilaian ke atas laporan yang diterima, 93% atau 23,957 daripada AEFI yang dilaporkan adalah bagi kes yang tidak serius serta kerap dilaporkan seperti demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot yang pulih dalam masa satu hingga dua hari.

Mengenai kesan AEFI bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), Dr Roshayati berkata terdapat enam kes serius membabitkan golongan itu yang direkodkan setakat 6 Mac lepas.

Beliau berkata lima kes telah dimasukkan ke wad untuk rawatan, manakala satu kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Bagi kes BID, katanya ia masih dalam siasatan memandangkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu mempunyai sejarah penyakit sedia ada.

“Jadi laporan lengkap berhubung kes ini belum diterima dan kita akan memaklumkan perkembangan sebaik menerima laporan,” katanya.

Sehingga kini 1.09 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sejak PICKids bermula pada 3 Februari lepas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles