Sunday, July 3, 2022

Sarawak sambut baik pembukaan muzium terbesar di Malaysia

Muzium Budaya Borneo di Kuching merupakan muzium kedua terbesar di rantau dengan harga pembinaan sebanyak RM323 juta.

Other News

Pemimpin Sarawak mengalu-alukan pembukaan Muzium Budaya Borneo, yang merupakan muzium terbesar di negara ini dan kedua terbesar di Asia Tenggara, mengatakan ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri selain mengekalkan warisan budayanya.

Terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuching, Muzium Budaya Borneo dijangka akan membuka pintunya kepada orang ramai minggu ini.

Muzium itu akan menempatkan ratusan artifak bersejarah di lima tingkat, dengan keluasan ruang kira-kira 31,000 meter persegi.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata kompleks bernilai RM323 juta itu akan membantu pertumbuhan ekonomi dalam negeri di samping melindungi warisannya yang kaya.

Sebahagian daripada artifak sejarah yang dipamerkan di Muzium Budaya Borneo.

“Konsep menggunakan muzium sebagai perangsang pertumbuhan ekonomi budaya sudah terbukti dan membuahkan kejayaan, ia semakin popular di negara maju dan membangun.

“Jabatan Muzium Sarawak boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menghubungkan budaya dengan kreativiti, sekali gus menggalakkan pertumbuhan industri budaya dan kreatif kita di bawah bidang kuasa kementerian pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan,” katanya pada majlis pelancaran muzium itu hujung minggu lalu.

Muzium Budaya Borneo akan mempamerkan objek sejarah semula jadi, bahan arkeologi dan budaya secara bertema, selain turut menyediakan ruang untuk kanak-kanak dan galeri seni dan kraf tangan.

Bangunan muzium juga direka bentuk bagi penerapan kemajuan digital, menampilkan pameran interaktif sambil memastikannya sentiasa dikemas kini ketika kemajuan global terus berkembang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata seni bina bangunan itu sendiri akan meningkatkan dan menghidupkan semula imej seluruh bandar.

“Ia akan menjadi lokasi tumpuan dan destinasi yang mesti dikunjung pelancong,” katanya.

“Saya yakin Muzium Budaya Borneo, selain Muzium Sarawak sebelumnya akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak.”

Karim juga berkata Sarawak akan mencari peluang kerjasama penyelidikan bersepadu dengan institusi pengajian tinggi, pemain industri dan pihak berkepentingan lain sebagai sebahagian daripada usaha dokumentasi dan pemeliharaan bahan budaya di negeri itu melalui pengiktirafan Unesco.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles