- Iklan -
Berita

Dakwaan hutang 1MDB belum dibayar tidak berasas, kata menteri kewangan

Menurut Zafrul, kerajaan sudah membayar RM6.5 bilion faedah hutang daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM38.8 bilion merangkumi hutang prinsipal 1MDB.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz  bercakap pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di  Parlimen hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bercakap pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Parlimen hari ini. Gambar: Bernama

Dakwaan hutang prinsipal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih belum dibayar sehingga kini adalah tidak berasas memandangkan ia hanya akan matang antara tahun 2022 hingga 2039, jelas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah.

“Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahukan penjelasan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak bahawa kerajaan belum membayar hutang 1MDB.

Menurut Zafrul, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Energy Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.

Semalam, Najib mendakwa dana awam tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB kerana pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

“Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Hakikatnya, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar (guna wang rakyat).

“Pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion. Pada 2019 hutang RM32 bilion. Pada 2020 hutang RM32 bilion. Pada 2021 hutang RM32 bilion,” katanya.