Sunday, July 3, 2022

180 individu rugi RM22.6 juta selepas pelaburan pokok gaharu di Thailand tak menjadi

Mangsa diberitahu supaya menunggu selama tujuh tahun sebelum proses penuaian bagi mendapatkan hasil yang dijanjikan syarikat tersebut.

Other News

Seramai 180 individu mengalami keruigan RM22.6 juta apabila pelaburan bagi projek penanaman pokok gaharu yang dilaksanakan sebuah syarikat antarabangsa, Asia Plantation Capital (APC), tidak menjadi, MalaysiaNow kini boleh mendedahkan.

Menurut maklumat yang diterima, kes ini bermula seawal 2011 apabila syarikat tersebut mula mengiklankan mengenai pelaburan tanaman pokok gaharu di sebidang tanah yang diperoleh menerusi pajakan di Sakon Nakhon, Thailand.

Difahamkan, iklan mengenai pelaburan itu diuar-uarkan menerusi pelbagai platform seperti surat khabar, sosial media, dan panggilan ejen, malah ada juga mangsa yang tertarik apabila diberitahu secara lisan menerusi kenalan rapat.

Berdasarkan dokumen dan laporan yang diperoleh MalaysiaNow, pelaburan itu menjanjikan pulangan lumayan memandangkan minyak gaharu pada masa itu mempunyai permintaan tinggi di pasaran global dengan setiap tola minyak gaharu dijangka boleh dijual pada harga S$400.

Menurut dokumen itu, perolehan jualan akan diberikan dalam mata wang dolar Singapura (SGD), selepas potongan 17.5% bagi kos menuai dan komisen jualan.

Malah, pelabur juga dimaklumkan bahawa penjagaan pokok itu akan dilakukan oleh pihak profesional dan berpengalaman bagi memastikan tanaman itu akan tumbuh dengan baik

MalaysiaNow dimaklumkan, transaksi jualan oleh mangsa berada dalam lingkungan puluhan ribu hingga ratusan ribu bergantung kepada jumlah pokok yang dibeli malah, ada yang merekodkan transaksi melebihi RM500,000.

Transaksi tersebut diterjemah kepada SGD memandangkan syarikat itu pada 2011 masih belum ada pejabat di Malaysia.

Menerusi perjanjian jual beli tersebut, syarikat itu memberitahu bahawa pokok gaharu itu akan mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk mencapai proses kematangan sebelum ia boleh dituai.

Ketika perjanjian pembelian itu dilakukan, mangsa-mangsa juga diberitahu mereka akan dimaklumkan mengenai perkembangan tanaman yang dibeli menerusi laporan secara tahunan, malah ada juga yang dibawa untuk melihat sendiri tanah tanaman itu di Thailand, kononnya sebagai bukti bahawa pelaburan tersebut adalah sahih.

Namun begitu, selepas kontrak perjanjian jual beli ditandatangani, APC dilaporkan tidak memberi maklum balas seperti yang dijanjikan dan terus berdiam diri sehingga mereka dihubungi oleh mangsa-mangsa.

Mangsa yang membuat keputusan untuk menghubungi APC secara sendiri berasa kecewa apabila mendakwa syarikat itu memberi pelbagai alasan menyatakan tanaman tersebut tidak berjaya dan mereka turut menawarkan perjanjian baru.

Ekoran itu, semua mangsa menolak perjanjian baru itu kerana merasakan sudah ditipu dan mendesak supaya syarikat tersebut memulangkan wang mereka memandangkan perjanjian kontrak telah dilanggar beberapa kali sebelum ini.

Pada Jun 2020, APC menerusi laporan oleh Business Insider menyatakan bahawa keadaan cuaca tidak menentu menjejaskan beberapa aset syarikat itu dalam tempoh beberapa tahun sebelumnya seperti El Nino dan kemarau.

Keadaan cuaca itu menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian AS$36 juta pada 2019 dan 2020, malah syarikat itu juga sedang mengambil langkah proaktif untuk mempelbagaikan struktur perniagaannya untuk berdepan dengan situasi berkenaan.

Laporan itu juga menyebut APC sedang menggiat melabur dalam sektor perladangan Malaysia dan Thailand, membangunkan kilang baru untuk menghasilkan gaharu dan produk berkaitan untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

Seterusnya pada 2020, dianggarkan antara 60 hingga 70 mangsa tampil membuat laporan polis terhadap syarikat tersebut, namun MalaysiaNow difahamkan kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) atas sebab tiada petunjuk baru yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

Walaupun kecewa dengan keputusan itu, mangsa bagaimanapun tidak berputus asa dan berpakat membawa kes ini ke mahkamah dan diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Shobah Veera.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Shobah memaklumkan pihak mahkamah akan mengeluarkan arahan kepada polis supaya menyiasat semula kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mereka menghantar permohonan ke Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur pada 2 Mac lalu.

Selain itu, beliau memaklumkan pihaknya turut memfailkan saman terhadap syarikat itu dua tahun lalu dan pengurusan kes akan berlangsung pada 31 Mac depan.

“Ini adalah kejayaan pertama bagi pihak klien kami dan kami harap kes ini akan disiasat secara telus,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles