- Iklan -
Berita

RUU tukar gelaran ‘ketua menteri’ kepada ‘menteri perdana’ lulus dengan majoriti dua pertiga

RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 menerima sokongan dari 67 Adun di Dewan Undangan Negeri.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan di sekitar DUN Sarawak. Gambar: Bernama
Pemandangan di sekitar DUN Sarawak. Gambar: Bernama

Rang undang-undang (RUU) bagi menukar gelaran “ketua menteri” dalam perlembagaan negeri kepada gelaran “menteri perdana” diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga selepas bacaan ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 menerima sokongan 67 ahli DUN selepas lima jam dibahaskan.

Pindaan perlembagaan negeri itu akan menyaksikan Ketua Menteri Abang Johari Openg menjadi menteri perdana pertama di Malaysia.

Selain gelaran kepada jawatan utama negeri tersebut, gelaran “menteri muda” juga akan ditukar kepada “timbalan menteri”.

RUU pindaan perlembagaan negeri itu dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim berkata pindaan tersebut akan mencerminkan status istimewa Sarawak dalam persekutuan, susulan beberapa perubahan terhadap empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan berkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hal ini akan meletakkan Sarawak sebagai salah satu dari wilayah dan tidak dianggap mempunyai status yang sama seperti negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.

Beliau berkata langkah untuk menggantikan gelaran “ketua menteri” kepada “menteri perdana” di bawah Perkara 6(3) dalam perlembagaan negeri itu adalah serupa dengan amalan di negara-negara Komanwel.

“Ketua persekutuan digelar sebagai perdana menteri, dan ketua bagi wilayah dalam persekutuan pula digelar menteri perdana manakala sub-wilayah atau negeri akan diketuai ketua menteri,” katanya.