- Iklan -
Berita

PKR tidak guna logo PH pada PRN Johor

Langkah itu diambil selepas prestasi buruk PKR dalam tiga pilihan raya negeri yang lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang aktivis Pakatan Harapan mengibarkan bendera gabungan itu pada PRN Melaka tahun lalu.
Seorang aktivis Pakatan Harapan mengibarkan bendera gabungan itu pada PRN Melaka tahun lalu.

PKR tidak akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang walaupun gabungan itu diketuai presiden parti itu Anwar Ibrahim, membayangkan wujud pertikaian mengenai peruntukan kerusi antara parti komponennya.

Bagaimanapun, pemimpin gabungan itu berkata DAP dan Amanah akan meneruskan penggunaan logo PH.

“Sungguhpun ada pandangan berbeza berkaitan dengan permintaan PKR mengenai penggunaan logo, mesyuarat Majlis Presiden PH bersetuju untuk menghormati hasrat PKR bahawa logo PH akan digunakan dan PKR pula akan menggunakan logonya untuk PRN Johor,” kata PH dalam sebuah kenyataan hari ini.

PH juga berkata Anwar akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon PH diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad bin Sabu.

Gabungan itu juga mengumumkan ia akan meneruskan rundingan berhubung kerjasama dan pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang termasuk Muda.

“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani PRN Johor akan datang.”

PKR mengalami kekalahan teruk berganda pada PRN di Sarawak dan Melaka tahun lalu.

Parti itu kalah di kesemua 28 kerusi yang ditandinginya di Sarawak pada 18 Disember lalu.

Sementara itu, di Melaka, PKR kalah di 11 kerusi ditandinginya walaupun mendapat peruntukan kerusi melebihi Amanah dan DAP.

Amanah memenangi satu kerusi di Melaka, sementara DAP hanya memenangi empat kerusi.