- Iklan -
Berita

45.7% dewasa terima dos penggalak

Sementara itu, 9 kes kematian akibat Covid-19 turut direkodkan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada warga emas di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada warga emas di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.

Seramai 10,701,460 individu atau 45.7% daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat malam tadi.

Menurut data kementerian kesihatan (KKM) menerusi laman CovidNow, seramai 22,915,836 individu atau 97.9% populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 mereka, manakala 23,193,511 individu atau 99.1% daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,780,413 individu atau 88.3% telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,864,161 individu atau 91.0 peratus daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 131,168 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 817 dos pertama, 973 dos lengkap dan 129,378 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 62,251,745 dos termasuk 10,701,460 dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sembilan kes kematian direkodkan semalam.

Johor dan Terengganu mencatatkan angka kematian tertinggi masing-masing dengan tiga kes diikuti Perak, Sabah dan Selangor masing-masing satu kes.