- Iklan -
Berita

Monopoli punca ketidakcekapan RFID?

Pakar ekonomi mencadangkan lebih ramai pemain e-dompet dibenarkan sediakan perkhidmatan RFID, tambah nilai.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Lorong kad Touch 'n Go serta SmartTAG tetap beroperasi di semua lebuh raya dan ia hanya akan diberhentikan secara berperingkat, mengambil kira kepada kadar penggunaan RFID dan kesediaan lorong RFID.
Lorong kad Touch 'n Go serta SmartTAG tetap beroperasi di semua lebuh raya dan ia hanya akan diberhentikan secara berperingkat, mengambil kira kepada kadar penggunaan RFID dan kesediaan lorong RFID.

Muhammad Akmal Aminudin Baki dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi, Selangor setelah berurusan di Taman Melawati, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.00 petang pada Isnin apabila dia menyedari sesuatu yang luar biasa berlaku.

Ribuan kenderaan di lebuh raya lingkaran tengah 2 (MRR2) seakan-akan tidak bergerak langsung.

“Saya memang kerap berulang-alik dari Bangi ke Kuala Lumpur. Kebiasaannya, dari Melawati ke tol Sungai Besi hanya setengah jam, namun pada hari itu saya terperangkap hampir dua jam,” katanya kepada MalaysiaNow.

Seperti beribu pengguna jalan raya lain, Akmal antara “mangsa” ketidakcekapan pelaksanaan RFID di tol PLUS yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.

Dia yang keluar dari Melawati pukul 6.15 petang itu hanya tiba di plaza tol Sungai Besi hampir pukul 8.00 malam.

“Jika kita tiada apa-apa urusan penting, mungkin masalah tidak besar.

“Tetapi bagi mereka yang ada kecemasan, tak boleh buat apa-apa melainkan tunggu dalam kesesakan,” katanya.

Dia yang berniaga sendiri itu bercadang ingin mendapatkan pelekat RFID untuk kenderaannya, namun mahukan perkhidmatan yang lebih baik daripada pengendali sistem itu setelah mempunyai pengalaman terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Terdahulu, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mengumumkan transaksi tol menggunakan RFID dilaksanakan di semua tol plazanya bermula 15 Januari lepas.

Bagaimanapun, implementasi itu hanyalah indah khabar dari rupa apabila lebuh raya mengalami kesesakan akibat kegagalan membaca pelekat RFID.

Pengendali lebuh raya itu pula mengakui kelemahan dalam mengimplementasi RFID di beberapa plaza tol PLUS baru-baru ini.

Aduan turut dibuat mengenai kualiti pelekat RFID yang didakwa mudah rosak selain harganya yang tidak masuk akal pada RM35.

Rata-rata pengguna juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan teknologi itu yang dikatakan tidak sehebat negara luar.

Pakar ekonomi Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan wajar membenarkan pengendali e-dompet lain untuk turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai dan pembelian RFID.

“Saya fikir PLUS hendak benarkan pengendali e-dompet lain tapi mungkin ada isu dari segi kontrak atau perundangan. Isu besarnya ialah perkhidmatan ini membabitkan monopoli Touch N Go,” katanya kepada MalaysiaNow.

“PLUS, dan CIMB selaku pemilik Touch N Go perlu bekerjasama untuk pastikan pelanggan mempunyai pilihan.”

Razman berkata, harga pelekat RFID juga boleh turun dengan mendadak sekiranya ada persaingan dalam kalangan pengendali berbeza.

Ini bukan kali pertama negara menyaksikan masalah sistem pembayaran di lebuh raya.

Sebelum 2003, lapan daripada 15 operator tol di negara tidak menggunakan Touch N Go sebagai sistem pembayaran.

Lebuh raya Kesas, LDP and Sprint contohnya, menggunakan sistem yang dikenali sebagai Fastrak.

Menteri kerja raya pada ketika itu, Samy Vellu kemudian mengumumkan penggunaan satu sistem untuk semua lebuh raya.

Beberapa tahun lepas, syarikat Touch N Go dikritik kerana tidak menyediakan kemudahan yang secukupnya untuk pengguna PLUS menambah nilai kad.

Ini mengakibatkan beberapa pengguna malang terpaksa menukar laluan, atau memberhentikan kenderaan di plaza tol untuk menambah nilai di kiosk Touch N Go, atau stesen-stesen minyak.

Seorang pakar keselamatan jalan raya pula mencadangkan agar pengimbas kad Touch & Go turut disediakan di laluan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai sokongan bagi mengelakkan kesesakan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua berkata, langkah itu boleh diambil sementara menunggu pelaksanaan sistem RFID stabil.

“Kes kegagalan kenderaan yang mempunyai pelekat RFID untuk melepasi tol mesti direkodkan dan disiasat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Cadangan itu senada dengan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mahu pengguna jalan raya diberi pilihan selain RFID.

Teknologi RFID, menurut Law, sememangnya jauh lebih maju daripada pancaran infrared yang digunakan dalam Smart Tag.

Antara kelebihannya ialah ia boleh digunakan tanpa peranti dan bateri.

“RFID diimplementasi di Malaysia pada 2017. Transisi dan penambahbaikan sistem tol perlu dijalankan secara berperingkat untuk meningkatkan kelancaran aliran trafik. Ini sebabnya tunai tidak lagi diterima di plaza tol.

“Bagaimanapun, tiada kajian dilaksanakan untuk menyiasat masalah teknikal yang timbul dengan pelaksanaan sistem RFID di plaza tol, terutamanya penggunaan pelekat RFID dan pengimbas sistem,” tambahnya.