Sunday, May 22, 2022

Tiada upacara kavadi bagi sambutan Thaipusam tahun ini

Hanya upacara 'paal koodam' dibenarkan dalam sambutan Thaipusam tahun ini.

Other News

Upacara “paal koodam” atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa melibatkan acara kavadi bagi perayaan Thaipusam kali ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata “paal koodam” dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Januari) hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil.

“Setiap sesi adalah selama 30 minit dan diikuti kerja-kerja sanitasi selepas itu. Bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Temple Batu Caves, Selangor jumlah untuk paal koodam tidak melebihi 100 orang.

“Bagi Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani GeorgeTown, Pulau Pinang; Kuil Ipoh Hindu Devastanam Paripalana Sabah, Perak dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah, Sungai Siput, Perak, tidak melebihi 50 orang,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Halimah berkata bagi kuil selain daripada lima kuil itu, jumlah orang terlibat untuk ‘paal koodam’ tidak melebihi 30 orang.

Beliau berkata pembawa “paal koodam” diwajibkan membuat pendaftaran dengan pihak pengurusan kuil terlebih dahulu, dan memakai tag yang disediakan.

Halimah berkata upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya 12 sesi sembahyang ditetapkan dari 16 hingga 17 Januari, serta 19 Januari bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Januari ini bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing.

“Di Kuil Sri Subramaniar Swamy Temple Batu Caves tidak melebihi 6,000 orang setiap hari. Setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi dengan jumlah setiap sesi di kuil ini tidak melebihi 500 orang.

“Selain itu, hanya ahli pengurusan kuil sahaja dibenar mengiringi kereta pedati dan mereka wajib mendaftar dengan pihak pengurusan kuil untuk mendapatkan tag kebenaran, serta perlu mendapat kelulusan pihak polis,” katanya sambil menambah SOP lengkap Thaipusam akan dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Halimah berkata mana-mana kuil yang dikesan mempunyai kes Covid-19, akan diarah untuk membatalkan sebarang upacara Thaipusam di kuil itu.

Beliau berkata meskipun perayaan itu bakal disambut penganut Hindu pada 18 Januari ini, terdapat penganut yang menunaikan nazar awal daripada tarikh berkenaan.

“Kalau berlaku satu kes melibatkan upacara Thaipusam pada mana-mana tarikh awal 14 hingga 17 dan 18 Januari, kita akan minta hentikan dan batalkan. Tutup untuk satu kuil itu sahaja,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan kuil untuk membenarkan hanya gerai jualan kekal di bawah pengurusan mereka sahaja beroperasi sepanjang perayaan, manakala sumbangan makanan dan minuman percuma (thanir phandal dan anamthanam) adalah tidak dibenarkan.

Menurutnya, gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil juga tidak dibenarkan.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan Thai iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, untuk memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Sementara itu, Halimah memaklumkan mesyuarat kuartet menteri Covid-19 semalam telah meluluskan SOP perayaan Tahun Baru Cina dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles