Sunday, May 22, 2022

Sarawak akan tubuh dana kekayaan berdaulat

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata penubuhan dana itu akan menjamin kedudukan kewangan negeri.

Other News

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri akan menubuhkan dana kekayaan berdaulat negeri bagi memastikan masa depan generasi muda negeri itu.

Bercakap pada sidang media semalam, beliau berkata dana itu akan menjamin Sarawak dapat mengekalkan kedudukan kewangannya.

“Cadangan penubuhan dana kekayaan berdaulat ini akan dilaksanakan selepas kami melantik pakar yang akan menasihati kami tentang cara melakukannya dan menguruskan dana itu secara profesional,” katanya.

Dana kekayaan berdaulat adalah antara ikrar dalam 34 perkara yang termaktub dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga presiden PBB berkata parti itu juga akan menubuhkan sayap Pemuda baru untuk mereka yang berumur 18 hingga 28 tahun.

Beliau berkata ini akan memudahkan rancangan pembangunan ekonomi negeri bagi tahun 2030, khusus untuk golongan belia.

“Kita akan meminda perlembagaan parti pada konvensyen PBB supaya boleh membentuk sayap Pemuda baru,” katanya.

“Kita perlukan orang muda untuk membantu dalam menguruskan masyarakat kerana kita sedang menghadapi populasi yang semakin tua.”

Beliau turut berkata kerajaan negeri akan membantu rakyat Sarawak di semenanjung yang terjejas akibat banjir baru-baru ini dan menggesa mereka menghubungi Rumah Sarawak bagi mendapatkan bantuan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles