- Iklan -
Berita

Pembantu Muhyiddin jawab soalan Azalina berhubung Azam

Marzuki Mohamad berkata tidak timbul soal sama ada perdana menteri ke-8 membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Pembantu kepada Muhyiddin Yassin hari ini mengatakan tidak timbul soal sama ada bekas perdana menteri itu membuat semakan atau tidak terhadap latar belakang sebelum melantik Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beliau merupakan orang nombor dua dalam agensi itu.

Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri berkata, sebagai penjawat awam borang tertentu perlu diisi dan ada beberapa kaedah yang perlu dipatuhi ketika berkhidmat berhubung pengisytiharan harta.

“Azam Baki adalah timbalan ketua pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya.

“Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat,” katanya dalam tulisan di Facebook hari ini.

“Jadi tidak timbul soal sama ada perdana menteri ke-8 membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat. Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.”

Marzuki menjawab persoalan yang ditimbulkan Azalina Othman Said yang juga merupakan penasihat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Azam dilantik oleh Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin) ketika menjadi perdana menteri ke-8. Saya menjangkakan pemeriksaan latar belakang dilakukan oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum pelantikan dibuat.

“Adakah isu ini diketengahkan ketika itu?” soalnya.

Azam dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan.

Pelantikan beliau juga berlaku beberapa hari selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan selepas Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri.

Dalam pada itu, Marzuki turut berkata pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM adalah dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurutnya, di bawah seksyen tersebut, seorang ketua pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

“Perdana menteri pula seperti mana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada ketua setiausaha negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,” katanya.