Friday, May 20, 2022

KM Sarawak umum barisan Kabinet baru negeri

Tiga timbalan ketua menteri yang dilantik adalah Dr Sim Kui Hian, Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah Ali Hasan.

Other News

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengumumkan barisan Kabinet barunya selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, dengan Adun Batu Kawah Dr Sim Kui Hian dilantik sebagai salah seorang timbalan ketua menteri.

Kabinet baru yang berkuat kuasa hari ini itu juga turut menyaksikan pelantikan Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah Ali Hasan sebagai timbalan ketua menteri.

Uggah juga turut ditugaskan memegang portfolio menteri pembangunan infrastruktur dan pelabuhan menggantikan mendiang James Masing sementara Awang diberikan portfolio perdagangan dan industri antarabangsa, perindustrian utama dan pembangunan usahawan.

Bercakap pada sidang media di Kuching, Abang Johari berkata Kabinet negeri yang baru itu adalah selari dengan objektif Sarawak yang mahu menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Saya yakin barisan Kabinet baru adalah Kabinet yang akan memainkan peranannya, ia dianggotai individu yang cekap, membawa aspirasi rakyat, telus dan berintegriti di mana mereka akan menumpukan usaha untuk berkhidmat dengan berkesan selain mengekalkan sistem organisasi yang mantap,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa tugas utama Kabinet barunya itu adalah menjalankan usaha menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi Sarawak.

Barisan Kabinet baru itu terdiri dari 10 menteri dan 26 menteri muda di mana kebanyakan portfolio sebelum ini dikekalkan.

Sim juga turut dilantik sebagai menteri kesihatan awam, perumahan dan kerajaan tempatan.

Adun Sebuyau Julaihi Narawi yang sebelum ini merupakan menteri muda bagi insfrastruktur dan pembangunan pelabuhan dilantik sebagai menteri utiliti dan telekomunikasi.

Kabinet baru Sarawak turut dianggotai 10 muka baru sebagai menteri muda:

1. Juanda Jaya (integriti dan ombudsman)
2. Jefferson Jamit Unyat (undang-undang dan tanah adat)
3. Hazland Abang Hipni (tenaga dan kelestarian alam sekitar)
4. Aidel Lariwoo (infrastruktur and pembangunan pelabuhan)
5. Majang Renggi (infrastruktur and pembangunan pelabuhan)
6. Michael Tiang Ming Tee (kesihatan awam, perumahan dan kerajaan tempatan)
7. Martin Ben (pemodenan pertanian dan pembangunan luar bandar)
8. Henry Harry Jinep (pengangkutan)
9. Ripin Lamat (belia, sukan dan pembangunan usahawan)
10. Mohamad Razi Sitam (wanita, kanak-kanak dan kesejahteraan komuniti)

Adun Kemena Dr Stephen Rundi Utom yang sebelum ini merupakan menteri utiliti dilantik sebagai menteri pemodenan pertanian dan luar bandar.

Adun Tarat Roland Sagah Wee Inn yang merupakan menteri muda pemodenan pertanian, tanah adat dan pembangunan serantau dilantik sebagai menteri penuh pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

Sementara itu, John Sikei Tayai yag merupakan menteri muda undang-undang dan tanah adat dilantik sebagai menteri di Jabatan Ketua menteri menggantikan Talip Zulpilip.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles