Friday, January 28, 2022

31 ditahan pecah masuk kedai serbaneka di Taman Sri Muda

10 warga Indonesia antara yang ditahan, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Other News

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata seramai 31 orang ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda, semalam.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 10 rakyat Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima Myanmar dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“IPD Shah Alam juga meletakkan elemen pencegahan jenayah di semua kawasan yang terjejas banjir dan polis menyeru serta menasihati orang ramai di kawasan yang terjejas banjir agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, dua Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) disediakan iaitu PKTK 1 di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan PKTK 2, Taman Kemuning Utama, Seksyen 33.

Semalam, Pengarah Urusan Mydin Holdings Ameer Ali Mydin mengesahkan pecah masuk sebuah rangkaian premis Mydin Mart di Taman Sri Muda.

Bagaimanapun, beliau memaafkan perbuatan tersebut walaupun menegaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri yang dilakukan pemecah masuk premis perniagaannya.

“Mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” jelasnya.

Sri Muda dilanda banjir besar yang melanda beberapa negeri di semenanjung susulan hujan lebat pada hujung minggu lalu.

Selangor menjadi negeri paling teruk dilanda banjir dengan puluhan ribu mangsa kini ditempatkan di lebih 200 pusat pemindahan sementara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles