- Iklan -
Berita

Kedah akan beri sumbangan khas RM200,000 kepada Selangor

MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, sumbangan itu akan diuruskan pejabat pegawai kewangan negeri dengan segera.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota Polis Lans Kop Nur Fatihah Shari merakam gambar Balai Polis Seri Muda yang ditenggelami air selepas dilanda banjir semasa mengagihkan makanan kepada mangsa banjir ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 semalam. Gambar: Bernama
Anggota Polis Lans Kop Nur Fatihah Shari merakam gambar Balai Polis Seri Muda yang ditenggelami air selepas dilanda banjir semasa mengagihkan makanan kepada mangsa banjir ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 semalam. Gambar: Bernama

Kerajaan Kedah akan memberikan sumbangan khas RM200,000 kepada Selangor sebagai tanda kebersamaan rakyat negeri itu dengan negeri berkenaan yang sedang menghadapi musibah banjir.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, sumbangan itu akan diuruskan pejabat pegawai kewangan negeri dengan segera.

“Kerajaan negeri Kedah amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda penduduk di Selangor dan beberapa negeri lain. Kesukaran penduduk dan kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada yang dapat dibayangkan.

“Sebagai tanda kebersamaan kami rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor, kerajaan negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan khas kepada kerajaan negeri Selangor, sebanyak RM200,000,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak Khidmat Malaysia Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk dibawa ke Selangor bersama aset serta petugas bagi membantu penduduk di sana.

“Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan akan membantu mereka menghadapi kesukaran pasca banjir,” katanya.