Saturday, January 22, 2022

Sesuaikah murid gelar guru ‘abah’, ‘mak’?

Sebahagian guru tidak memiliki sebarang masalah jika dipanggil sebagai 'abah' atau 'mak', namun ada juga berpandangan ia buka pintu bagi antun seksual.

Other News

Beberapa pendidik menyuarakan pandangan berbeza berhubung penggunaan istilah mesra seperti “daddy” atau “abah” oleh murid kepada guru mereka, sebahagian mengatakan ia melangkaui sempadan dalam hubungan itu sementara sebahagian lain menyatakan selesa dengan amalan tersebut.

Isu tersebut timbul selepas sebuah klip video yang memaparkan beberapa murid memanggil guru tuisyen dengan panggilan tersebut semasa kelas dalam talian yang tular di media sosial.

Ada yang mengatakan penggunaan gelaran itu adalah sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia bagi menunjukkan rasa hormat kepada orang yang lebih tua, sementara wujud juga yang menyuarakan kebimbangan amalan itu mungkin boleh menyebabkan masalah lain dalam jangka masa panjang.

Presiden persatuan ibu bapa dan guru di SK Seksyen 17 di Shah Alam, Normala Mukhtar berkata apa yang dikatakan sebagai satu hal yang biasa dan sesuai dalam perkara ini berubah mengikut waktu.

“Pada zaman saya, kami tiada masalah untuk panggil guru ‘abah’ atau ‘mak’, terutama ketika kami di sekolah asrama. Panggilan seperti itu adalah satu perkara yang menunjukkan hormat kami kepada guru.

“Namun pada era sekarang ini, saya percaya lebih baik wujud garis panduan bagi mencegah sebarang isu kontroversi antara guru, ibu bapa dan murid,” katanya kepada MalaysiaNow.

Norhaslinda Zakaria, seorang guru mata pelajaran kimia di SM Sains Bagan Datoh berkata gelaran-gelaran sedemikian adalah tidak sesuai digunakan dalam suasana pendidikan.

“Mungkin ada yang fikir gelaran itu boleh wujudkan hubungan yang lebih rapat antara guru dan murid, namun tidak boleh dinafikan, ada kesan daripada amalan tersebut,” katanya yang memetik kemungkinan terjadinya kes antun seksual.

“Sempadan yang sepatutnya ada juga mungkin juga tidak lagi dihormati,” tambahnya.

“Saya bukan mahu jadi pesimistik dalam perkara ini, tetapi apa pun boleh terjadi.”

Seorang guru Bahasa Inggeris di SMK St Bernadette Convent di Batu Gajah, Yasoda berkata guru sebagai individu yang lebih tua dan lebih bijak sepatutnya menjadi orang yang tetapkan sempadan antaranya dan murid.

Yasoda, yang sudah lama menjadi pendidik tidak memiliki isu jika ada murid-murid yang mahu memanggil guru dengan istilah keibuan atau kebapaan selagi guru itu sendiri tahu bagaimana menetapkan jarak yang sepatutnya ada antara mereka.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata sebahagian murid sangat rapat dengan guru, bahkan lebih mesra dengan guru mereka daripada ibu bapa kandung mereka sendiri.

Kedua-dua Norhaslinda dan Normala bagaimanapun berkata ada beberapa langkah yang boleh dibuat oleh seorang guru bagi mencipta hubungan dengan murid-murid yang antara lain dengan cara mewujudkan kepercayaan.

“Apabila kepercayaan itu ada, penggunaan istilah mesra sedemikian tidak lagi diperlukan,” kata Norhaslinda.

Dia turut mengkritik trend memanggil mereka yang memiliki pengaruh atau kuasa dengan gelaran kebapaan dalam dunia profesional.

“Kebimbangan saya ialah orang ramai akan hilang rasa hormat terhadap individu-individu yang sepatutnya dihormati dalam bidang kerjaya mereka,” katanya.

“Ketika kita cuba untuk merapatkan jurang antara guru dan murid, perkara lain pula mungkin terjejas.”

Bagaimanapun, bagi Normala, beliau menyifatkan perkara ini sebagai “budi bahasa” yang menjadi budaya Malaysia, di mana adalah satu perkara biasa bagi seseorang itu dipanggil “abah” atau “daddy” bahkan dalam dunia politik.

“Saya fikir ini sudah jadi budaya kita,” katanya sambil memetik contoh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang sering dirujuk sebagai “Abah”.

Menjangkaui kebimbangan antun seksual dan sempadan antara guru dan murid, wujud juga isu ruang lingkup kerja dan tanggungjawab seorang guru mengenai isu ini.

Norhaslinda berkata, para guru terutama yang bertugas di sekolah berasrama sudah cukup banyak bebanan kerja ketika ini.

Dia menyuarakan kebimbangan dengan gelaran keibuan atau kebapaan itu boleh menyebabkan ada yang berpandangan golongan guru mempunyai tanggungjawab yang sama dengan ibu bapa kandung.

“Sekolah harus jadi tempat selamat bagi murid dan ia menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan perkara itu berlaku. Namun guru tidak memiliki kemampuan untuk melakukan lebih daripada itu, lebih-lebih lagi memegang tanggungjawab sebagai ibu bapa,” katanya.

Namun sebaliknya, Yasoda sudah pun menganggap dirinya sebagai ibu kedua bagi murid-murid yang masih terus menghubunginya atau mendapatkan pandangan dalam masalah-masalah yang dihadapi selepas meninggalkan sekolah.

“Mereka rasa selesa, sebab itu mereka buat begitu. Jadi saya fikir tiada masalah bagi seorang guru itu untuk menjadi ibu bapa kedua kepada murid-muridnya.”

Bagaimanapun harus diingatkan, katanya, guru-guru harus sentiasa menjaga sempadan dan jarak yang harus ada antara mereka dan murid.

Menurutnya lagi, walau apa pun berlaku, memang wujud ruang di mana kerja seorang guru akan bertindan dengan tanggungjawab ibu bapa.

“Suka atau tidak, kita tidak boleh nafikan guru menghabiskan lebih banyak waktu dengan anak-anak kita.

“Dan kadangkala, mereka lebih kenal anak kita berbanding kita sendiri.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles