- Iklan -
Berita

Walau Undi 18 dilaksana, usia muda bukan jaminan menang pilihan raya, kata penganalisis

Usia, latar belakang dan pendidikan hanya disifatkan sebagai nilai tambah apabila pengundi lebih pertimbang faktor parti dan personaliti calon.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi berbaris untuk memb uang undi ketika Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lalu.
Pengundi berbaris untuk memb uang undi ketika Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lalu.

Walaupun usia muda mungkin memberi kelebihan kepada calon dalam pilihan raya, ia bukanlah faktor penentu kepada pengundi dalam memilih wakil rakyat mereka, kata penganalisis ketika negara bakal melihat pelaksanaan Undi 18 yang akan menyaksikan penurunan had umur minimum mengundi kepada 18 tahun.

Di tengah perdebatan mengenai peranan belia dalam politik, Oh Ei Sun, seorang penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata keutamaan pengundi dalam memilih wakil rakyat juga berbeza berdasarkan garis demografi.

Katanya, pengundi luar bandar dilihat lebih mengutamakan isu pembangunan infrastruktur kawasan sekitar yang memberi impak secara langsung terhadap kehidupan mereka, manakala pengundi bandar secara amnya mempunyai kemewahan sosio ekonomi untuk berdebat mengenai isu lebih besar seperti pentadbiran dan integriti.

“Sudah tentu pengundi muda di kawasan bandar mungkin akan tertarik dengan calon muda, namun ini tidak bermakna mereka akan tolak tepi ideologi yang diperjuangkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Penganalisis politik dari UiTM Mujibu Abd Muis, berpendapat penerimaan calon wakil rakyat muda dalam kalangan pengundi juga bergantung kepada kawasan yang ditandingi memandangkan pencalonan mereka turut dikait rapat dengan status parti politik diwakili.

Beliau berkata, pencalonan wakil rakyat perlu mengambil kira aspek sosiologi dan budaya politik setempat dan perlu lihat susunan jentera daripada parti politik.

“Contohnya di pilihan raya negeri Sarawak, ramai daripada 349 calon yang bertanding berusia 50-an dan 60-an.

“Dalam konteks ini, ia memperincikan aspek kestabilan dan kematangan, personaliti dan keyakinan berbanding usia,” katanya dan menambah faktor latar belakang, pendidikan dan usia disifatkan sebagai faktor tambahan bagi pengundi.

Dalam pada itu, Oh menambah, ramai pengundi masih memilih berdasarkan logo parti yang dilihat melambangkan perjuangan ideologi parti tersebut.

“Calon muda yang mewakili parti dengan ideologi bukan pilihan pengundi pastinya akan tewas manakala calon veteran mewakili parti yang mempunyai ideologi diterima pengundi akan kekal dipilih semula,” jelasnya.

Sebagai contoh, Oh berkata, ideologi dibawa parti seperti Muda juga dilihat masih belum meyakinkan pengundi progresif dan liberal yang disifatkan sebagai penyokong asas parti tersebut.

“Terdapat keraguan sekiranya parti itu berjaya mencatat kemenangan pada pilihan raya umum akan datang, parti itu mungkin tidak mampu selari dan mengukuhkan kuasa yang lebih regresif dan konservatif untuk membentuk gabungan bagi memerintah negara ini.

“Ini antara persepsi yang perlu diatasi untuk Muda mengemudi ke dunia politik,” tambahnya.

Ditanya sama ada sudah tiba masa untuk generasi muda mengemudi parti-parti politik negara, Oh berkata peralihan kepada generasi baru sememangnya tidak dapat dielakkan.

Namun, katanya, persoalan utama ialah sama ada peralihan itu akan mengukuhkan atau memecah belahkan parti.

“Jika parti itu bersandarkan kepada kuasa oligarki, ia hanya menunggu masa – terutama apabila berdepan kekalahan pilihan raya – untuk ahli politik muda memberontak sekali gus melemahkan lagi parti,” ujar Oh.

Tambahnya, parti yang melaksanakan peralihan generasi secara sistematik akan menghasilkan pimpinan yang lebih bersatu dan mampu berdiri teguh sekiranya berdepan krisis politik.

“Muda juga harus mula melatih barisan pimpinan baru selepas Syed Saddiq supaya ia tidak menjadi parti Tua,” katanya.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, golongan yang muda juga perlu aktif terlibat dalam kerja lapangan atau aktiviti menyantuni rakyat sebelum mereka membuat keputusan bertanding sebagai wakil rakyat.

“Jika sekadar dicalonkan sebab berusia muda dan mempunyai pendidikan tinggi, mungkin tidak akan berhasil.

“Rakyat perlu lebih mengenali individu itu supaya mereka yakin calon itu layak membawa suara mereka,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.