- Iklan -
Berita

349 calon akan bertanding dalam PRN Sarawak

Ia termasuk lapan calon yang akan bertanding di kerusi DUN Dudong.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan di sekitar DUN Sarawak. Gambar: Bernama
Pemandangan di sekitar DUN Sarawak. Gambar: Bernama

Seramai 349 calon akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini selepas berjaya menyerahkan kertas pencalonan mereka hari ini.

Pertembungan berbilang penjuru akan mewarnai kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, dengan pertembungan terbesar membabitkan lapan calon di kerusi yang memiliki majoriti Cina di Dudong.

Calon akan bertembung satu lawan satu di empat kerusi, tiga penjuru di 13 kerusi, empat penjuru di 33 kerusi, lima penjuru di 24 kerusi, dan enam penjuru di tujuh kerusi.

Calon termuda adalah dari PKR, Cherishe Ng dan calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Olivia Lom Wen Sia, yang masing-masing berusia 24 tahun.

Sementara calon paling tua adalah dari Parti Sarawak Bersatu Wong Soon Koh yang berusia 79 tahun.

Beliau akan bertanding di kerusi Bawang Assan.

Daripada keseluruhan 349 calon PRN Sarawak kali ini, 45 daripadanya adalah calon wanita.

Lebih separuh daripada calon berusia 50 tahun ke atas, dengan 113 calon dalam kumpulan umur 50 hingga 59 dan 141 calon berusia 60 tahun ke atas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata sebanyak 351 kertas pencalonan telah diterima.

Bagaimanapun, dua kertas pencalonan ditolak, masing-masing satu di Jemoreng dan Senadin.

Dari 349 calon, 82 merupakan calon GPS, 73 dari Parti Bumi Kenyalang, 70 dari Parti Sarawak Bersatu, 28 daripada PKR, 26 dari DAP, 15 dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, 11 daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru, lapan dari Amanah, lima dari Parti Sedar Rakyat Sarawak, seorang dari PAS sementara 30 lagi adalah calon bebas.