- Iklan -
Berita

Melayu Patani harap sempadan dibuka semula

Ramai antara mereka hilang pekerjaan di Malaysia dan tidak mampu mencari kerja lain di tempat asal.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Nurhalisa bersama anak dan bekas suaminya. Dia kini menetap di rumah ayahnya dan berharap agar sempadan dapat dibuka semula bagi membolehkannya bekerja di Malaysia.
Nurhalisa bersama anak dan bekas suaminya. Dia kini menetap di rumah ayahnya dan berharap agar sempadan dapat dibuka semula bagi membolehkannya bekerja di Malaysia.

Sejak tamat pengajian di sekolah dua tahun lalu, Nurhalisa Jehawee mencari rezeki di Malaysia sebagai pekerja restoran tomyam di Kajang, Selangor. Wanita berusia 19 tahun itu bagaimanapun terpaksa pulang ke kampung halamannya di Pattani, Thailand selepas kerajaan menutup pintu sempadan pada Mac tahun lepas.

Ia sekaligus memutuskan punca rezeki dia dan suaminya yang juga bekerja di restoran tersebut. Memasuki tahun 2021, sempadan kedua-dua negara masih lagi ditutup mengakibatkan Nurhalisa habis wang simpanan sama sekali.

“Sudah dua tahun tak kerja, saya hanya duduk dengan ayah yang membuat kerja kampung kerana tak mampu cari kerja di tempat lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dia kini menetap dengan ayah serta adik dan kakaknya. Pendapatan yang diterima ahli keluarganya yang lain itu tidak mampu menanggung mereka sekeluarga.

Ibu kepada dua anak yang baru sahaja bercerai itu berkata ramai antara rakan-rakannya di kampungnya turut berdepan cabaran mencari kerja di kampung halaman.

Nurhalisa antara sebahagian daripada kira-kira 100,000 etnik Melayu di selatan Thailand yang mencari nafkah di Malaysia. Kebanyakan mereka bekerja di restoran tomyam sebagai pelayan, chef atau pengurus.

Kisahnya pernah tular di Malaysia apabila dia terpaksa berpisah dengan bayinya yang baru dilahirkan di Hospital Kajang ekoran penutupan sempadan.

Seorang pemandu van pelancong di Songkhla, Ahmad Ibrahim berkata, sukar untuk mereka yang menetap di kawasan kampung dan pedalaman untuk mencari kerja. Bagaimanapun, mereka yang mendapat kerja kebanyakannya bergaji rendah di kilang, kedai makan atau kerja-kerja sampingan.

“Ketika ini sebahagian pergi mencari kerja sendiri di luar wilayah selatan seperti di Bangkok dengan menjadi pengawal keselamatan, ada juga yang bekerja penghantar makanan atau barang.

“Kerja ini bersifat tidak tetap dan dilakukan mereka bagi menampung keluarga sementara hendak menunggu sempadan buka semula,” katanya yang sudah 13 tahun mengusahakan perkhidmatan van pelancong.

Ahmad Ibrahim yang mengusahakan van pelancongan untuk pelawat di Malaysia dan Thailand turut terjejas dengan penutupan sempadan apabila tidak lagi menerima permintaan tinggi ekoran penutupan sempadan dan sektor ekonomi.

Kebanyakan pekerja etnik Melayu yang berhijrah ke Malaysia datang dari tiga wilayah selatan Thailand iaitu Patani, Yala dan Narathiwat.

Ahmad Ibrahim berkata, dia sendiri turut terkesan dengan memandangkan vannya juga sering mengangkut pekerja negara itu berulang-alik dari sempadan. Katanya, penutupan itu sedikit sebanyak menjejaskan mata pencariannya kerana kurang permintaan terhadap perkhidmatan vannya ekoran larangan rentas sempadan.

“Saya pun kena buat kerja lain juga secara sambilan untuk tampung perbelanjaan harian. Sekarang tak boleh pergi mana-mana, penumpang pun masih takut Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan mereka sepanjang pandemik, presiden Persatuan Muslimah Satun, Aida Oujeh berkata, perniagaan di negara itu yang turut terjejas akibat pandemik menyukarkan syarikat-syarikat tempatan menyerap lebihan tenaga kerja itu.

“Semua orang kena balik masa kerajaan Malaysia mahu tutup sempadan. Tiada permit, tiada kad pengenalan merah, semua kena balik.

“Sejak tamat zaman persekolahan mereka sudah ke Malaysia, jadi mereka tak pandai hendak mencari pekerjaan di Thailand. Sebelum Covid-19 memang ada peluang pekerjaan tapi selepas sempadan tutup, hotel dan kedai-kedai lain tutup juga, sukar mereka nak cari makan,” katanya.

Selain diaspora etnik Melayu Thailand, penduduk Thailand di kawasan sempadan juga terkesan dengan ketiadaan pelancong Malaysia. Pada 2019, kira-kira empat juta rakyat Malaysia atau 10% daripada jumlah pelancong asing melawat negara itu menerusi laluan sempadan.

“Di Betung, rakyat wilayah itu memang bergantung kepada pelancong dari Malaysia untuk menggerakkan ekonomi mereka. Penduduk di Tak Bai dan Sungai Golok memang terkesan kerana mereka memang bergantung dengan Malaysia,” menurut Aida.

Aida yang juga mengusahakan agensi pelancongan di sana berkata, Danok dijangka membuka sempadan pada 16 Disember ini manakala Malaysia pula bakal mengambil langkah yang sama bermula Januari depan.

Keputusan itu katanya berdasarkan mesyuarat yang disertainya bersama wakil kerajaan kedua-dua negara.

Bagi Nurhalisa dan ribuan lagi pekerja tomyam, ia bakal menjadi berita baik apabila mereka akan dibenarkan semula mencari rezeki di negara ini, meskipun terpaksa mengikuti prosedur operasi standard.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.