- Iklan -
Berita

Malaysia enggan benarkan warga Israel sertai acara skuasy dunia di KL

Persatuan Skuasy Israel merancang untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Sukan di Switzerland jika Persekutuan Skuasy Dunia tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Persekutuan Skuasy Dunia maklum dengan situasi visa tidak diluluskan kepada warga Israel yang mahu menyertai kejohanan dunia yang akan diadakan di ibu negara. Gambar: Pexels
Persekutuan Skuasy Dunia maklum dengan situasi visa tidak diluluskan kepada warga Israel yang mahu menyertai kejohanan dunia yang akan diadakan di ibu negara. Gambar: Pexels

Malaysia menolak untuk memberikan visa kepada pemain Israel yang mahu menyertai kejohanan skuasy utama bulan depan, kata badan pengurusan sukan negara, mencetuskan kecaman ramai di negara Yahudi tersebut.

Tindakan tersebut adalah satu lagi keputusan tegas negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi menghalang atlet dari negara itu masuk ke Malaysia.

Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan, dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berkata ia “telah dimaklumkan, pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan visa bagi pasukan skuasy Israel”.

“WSF komited dengan prinsip kejohanan dunia yang terbuka dan inklusif di mana semua negara anggota yang ingin mengambil bahagian dialu-alukan untuk berbuat demikian,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan kepada AFP.

WSF menambah ia sedang berhubung dengan badan skuasy Malaysia dan berharap “penyelesaian yang adil dan praktikal dapat dicapai”.

Persatuan Skuasy Israel berkata ia merancang untuk membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika WSF tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.

“Sungguh memalukan, mereka campur urusan sukan dengan politik,” kata pengerusi persatuan skuasy negara itu, Aviv Bushinsky kepada AFP.

“Mereka yang menutup mata – semua negara yang mengambil bahagian dan biarkan sesuatu seperti itu berlaku – telah membenarkan perkauman dan diskriminasi berlaku dalam sukan.”

Ketika dihubungi, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) enggan mengulas perkara itu.

Kejohanan tersebut dipindahkan ke Malaysia dari New Zealand awal tahun ini, kerana sekatan perjalanan susulan pandemik Covid-19.

Pada 2019, Malaysia telah dilucutkan hak untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia kerana mengancam untuk menolak atlet Israel.

Dan pada 2015, peluncur angin Israel terpaksa menarik diri daripada pertandingan di Pulau Langkawi selepas ditolak visa.

Perjuangan Palestin mendapat sokongan meluas di Malaysia, di mana kira-kira 60% daripada penduduknya terdiri daripada etnik Melayu Islam, dan kemasukan ke negara itu menggunakan pasport Israel adalah dilarang.