- Iklan -
Berita

Kerajaan benar rentas tambak Johor mulai 29 November depan

Bagaimanapun hanya pengangkutan bas sahaja dibenarkan bagi mengawal pergerakan yang menetapkan kuota 1,500 orang pengembara sehari.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dengan pelancaran VTL darat, orang ramai berpeluang berjumpa dengan sanak saudara dan orang tersayang di Singapura selepas lebih setahun disekat bagi membendung pandemik. Gambar: AFP
Dengan pelancaran VTL darat, orang ramai berpeluang berjumpa dengan sanak saudara dan orang tersayang di Singapura selepas lebih setahun disekat bagi membendung pandemik. Gambar: AFP

Putrajaya hari ini mengumumkan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin – Laluan Darat (VTL-Land) dengan Singapura pada 29 November depan berikutan lebih 95% populasi dewasa kedua-dua negara menerima vaksinasi lengkap, selari dengan VTL-Air yang diumumkan pada pada 8 November lalu.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri berkata ia hanya akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja bagi mengawal pergerakan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

“Pelancaran VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah tambak yang terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

“Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara kedua-dua negara termasuk penduduk tetap serta pemegang pas jangka panjang.

Selain itu, pengembara yang layak juga adalah tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

Kerajaan juga bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

Menurut kenyataan itu juga, kerajaan mewajibkan pengembara dari Singapura wajib mendaftar di laman sesawang https://mysafetravel.gov.my/.

Sementara pengembar Malaysia yang bakal memasuki Singapura perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.

Malaysia hari ini mencatatkan kadar vaksinasi mencecah 95.8% vaksinasi populasi dewasa.

Berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, kerajaan telah membuka sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat dan turut memberikan kelonggaran selepas negara melaksanakan pelbagai sekatan pergerakan sejak tahun lalu.