Wednesday, December 1, 2021

Dianggap ‘underdog’ berbanding BN dan PH, mampukah PN buat kejutan?

Ketika pemerhati percaya pertandingan sengit antara BN dan PH, namun saingan PN tidak boleh dianggap mudah.

Other News

Seramai 476,037 pengundi di negeri Melaka bakal menentukan kerajaan negeri seterusnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, selepas dua minggu tempoh berkempen dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat.

Tidak seperti 14 pilihan raya sebelum ini, rakyat Melaka akan membuang undi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan suasana berbeza akibat pandemik.

Sejumlah 11,557 mengundi awal pada 16 November lepas manakala 7,601 mengundi secara pos.

Perhatian kempen tertumpu kepada tiga blok utama, iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Calon ketiga-tiga blok itu merupakan sebahagian daripada 112 calon yang menyertai gelanggang PRN kali ini.

Kempen kali ini agak janggal bagi pengundi dan pemerhati, apabila parti politik membuat serangan dan propaganda terhadap dua kem berlainan, sekaligus menjadikan ia berbeza daripada kebiasaannya.

BN memulakan serangan terhadap rakan kongsinya pada peringkat persekutuan, PN sebelum penamaan calon lagi apabila rundingan kerusi antara ketiga-tiga parti Melayu iaitu Umno, Bersatu dan PAS gagal menemui kesepakatan.

PN pula mengingatkan pengundi bahawa PRN Melaka terpaksa diadakan kerana pergelutan kuasa antara ahli politik Umno sendiri sehingga menyaksikan DUN terbubar dan berlakunya lompat parti.

PH, yang pada mulanya bertelagah kerana calon ketua menteri, akhirnya sepakat selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim akur dengan desakan DAP untuk menamakan Adly Zahari dari Amanah sebagai calon ketua menteri.

Soal ketua menteri juga antara isu yang hangat dimainkan dalam BN. Pada mulanya ia antara pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh dan penyandang jawatan itu, Sulaiman Md Ali.

Akan tetapi BN akhirnya menamakan Sulaiman.

Sementara PN membuat keputusan luar kotak apabila memilih Mas Ermieyati Samsudin yang mungkin menjadi ketua menteri pertama di Malaysia, sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

SOP ketat semasa berkempen

Namun semua parti mempunyai masalah yang sama, iaitu kekangan SOP berkempen yang menyaksikan larangan kempen fizikal, ceramah dan lawatan rumah ke rumah.

Ia sedikit sebanyak mengurangkan suhu politik di lapangan.

Pertempuran politik di bawa ke alam maya dengan poster, penulisan dan video ceramah disajikan kepada pengundi.

Namun kempen secara “mudsling” terhadap parti lawan tidak sehebat edisi pilihan raya terdahulu.

Calon-calon mengambil sikap untuk tidak atau kurang menghentam lawan masing-masing.

Secara umumnya, pemerhati mengatakan keputusan PRN Melaka menyaksikan PH atau BN yang berjaya membentuk kerajaan.

Kedua-dua PH dan BN boleh dikatakan bakal memenangi lapan hingga 10 kerusi.

Hayunan undi di lapan hingga 12 kerusi lagi akan menentukan pemenang akhir.

Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia yang membuat kajian terhadap 4,000 responden di Melaka menyatakan, peluang kini 50-50 antara PH dan BN.

“Rakyat cenderung kepada kestabilan, sebab dua tahun Covid-19 mereka banyak berdepan kesukaran dari segi kehidupan dan pendapatan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Justeru, kestabilan menjadi faktor utama dalam PRN kali ini.

Atas kertas, katanya Umno mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, namun pengundi Melaka sedikit terbuka selepas ditadbir 22 bulan oleh PH.

Calon ketua menteri PH, Adly amat popular dalam kalangan pengundi Melaka termasuk dalam kawasan kubu kuat Umno.

“PH akan menang sekiranya pengundi luar pulang dan peratusan keluar undi orang bukan Melayu tinggi,” katanya yang memberitahu, sekiranya berlaku sebaliknya, BN berpeluang untuk memenangi PRN ini.

PN mampu buat kejutan

Bagaimanapun Mazlan berkata, ini bukan bermakna PN yang dipimpin oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin boleh dipandang rendah.

Ini kerana undi PAS yang jitu ke arah PN terdiri daripada 10 hingga 13% daripada jumlah undi.

“PN akan bentuk kerajaan sekiranya dapat tarik sejumlah undi BN dan PH yang dahulu,” katanya dan menambah PN boleh membuat kejutan di sekurang-kurangnya empat kerusi, namun tidak dapat membentuk kerajaan kecuali dengan adanya peralihan sokongan daripada Adun BN.

Sementara itu, pengarah eksekutif Ilham Center, Mohamad Hisommudin Bakar berkata, kawasan pengundi bercampur yang mempunyai komposisi 50 hingga 69% pengundi Melayu bakal menjadi rebutan sengit.

Kawasan itu ialah Rim, Kelebang, Rembia, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Asahan, Paya Rumput, Bemban, Duyong dan Gadek.

“BN mendahului di hadapan berbanding dua gabungan yang lain.

“Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN.

“Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles