Wednesday, December 1, 2021

Pihak pendakwaan batal rayuan terhadap pembebasan kes rasuah Ku Nan, lapor media

Laporan The Edge mengatakan ia difahamkan pihak pendakwaan menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung pembebasan kes rasuah bekas menteri tersebut.

Other News

Pihak pendakwaan bagi kes rasuah RM2 juta membabitkan Tengku Adnan Tengku Mansor telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah awal tahun ini yang membebaskan bekas menteri itu daripada pertuduhan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan pada 2016, lapor The Edge.

Pada 16 Julai, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam keputusan majoriti 2-1 di Mahkamah Rayuan, cek berjumlah RM2 juta yang diterima daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada Umno.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 19 Julai di Mahkamah Persekutuan.

Namun, The Edge berkata ia difahamkan pihak pendakwaan telah menarik balik rayuan tersebut.

Adnan didapati bersalah menerima suapan tersebut di Mahkamah Tinggi pada 21 Disember tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah ke atas tertuduh dan ahli Parlimen Putrajaya itu juga gagal menangkis kes pendakwaan.

Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau yang merupakan ahli Parlimen Putrajaya didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamed Zaini, yang menyampaikan keputusan itu, berkata tiada bukti menunjukkan Tengku Adnan telah mengeluarkan RM2 juta daripada akaun Tadmansori untuk membayar perbelanjaan pilihan raya kecil di Sg Besar dan Kuala Kangsar.

Zaini juga berkata mahkamah tidak dapat menerima bahawa Adnan sahaja yang diamanahkan untuk mengumpulkan dana bagi dua pilihan raya kecil itu kerana kedua-dua kawasan ini tidak berada dalam kawasannya sebagai pengerusi Umno dan Barisan Nasional Wilayah Persekutuan.

“Beliau juga bukan bendahari seperti yang didakwa. Saya juga tidak dapat menerima keterangan Rizalman dan Zakaria termasuk lembaran anggaran yang dibentangkan.

“Saya berpendapat, keterangan mereka dibuat setelah peristiwa itu dalam usaha untuk menyokong pembelaan Adnan. Tidak ada keterangan untuk membuktikan bahawa tertuduh tahu bahawa beliau akan mendapat RM2 juta daripada Tan Sri Chai,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan pada Julai bahawa Zaini telah tersilap dalam penghakimannya sekali gus mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan kepada bekas menteri itu.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles