- Iklan -
Berita

E-dompet Shopee umum penajaan ‘push cart’, inisiatif bantu peniaga B40

20 peniaga telah menerima kereta sorong dalam inisiatif terbaru syarikat e-dagang tersebut melibatkan 100 peniaga.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peniaga B40 menerima 'push cart' atau kereta sorong dari Shopee sebagai satu bentuk inisiatif syarikat itu membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Peniaga B40 menerima 'push cart' atau kereta sorong dari Shopee sebagai satu bentuk inisiatif syarikat itu membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Syarikat e-dagang Shopee melalui aplikasi e-dompetnya, ShopeePay mengumumkan penajaan “push cart” atau kereta sorong dan beberapa cagaran relevan kepada peniaga mikro B40 sebagai sebahagian daripada inisiatif kempen #ShopeeGivesBack.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Shopee berkata sebilangan peniaga mikro terjejas akibat pandemik dan kehilangan sumber pendapatan mereka.

“Inisiatif ini bertujuan membantu peniaga-peniaga tersebut memulakan semula perniagaan mereka serta sebagai batu loncatan untuk pemulihan,” katanya.

Menurut Shopee, inisiatif “push cart” yang dilengkapi bumbung, rak dan ruang penyimpanan akan diedarkan kepada lebih 100 peniaga sepanjang November.

Inisiatif itu juga merupakan kerjasama syarikat tersebut dengan beberapa kerajaan negeri termasuk Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak, serta kementerian Wilayah Persekutuan.

Setakat Oktober, katanya, 20 peniaga di Terengganu telah menerima “push cart” tersebut.

Selain itu, Shopee berkata pihaknya akan menggandakan usaha bagi membantu pendigitalan peniaga-peniaga dengan membolehkan penerimaan transaksi tanpa tunai melalui e-dompet dan menawarkan insentif khas bagi membantu peniaga meningkatkan jumlah pendapatan.

“Ini termasuk menyediakan sebuah laman mikro yang menampilkan peniaga-peniaga tersebut di aplikasi Shopee serta baucar ShopeePay di Deals Near Me yang menawarkan pulangan tunai RM3 dengan pembelanjaan minimum RM6 hingga 31 Disember 2021.

“Pada masa yang sama, pengguna-pengguna ShopeePay berpeluang menerima pulangan tunai sebanyak RM3 dengan pembelanjaan minimum RM15 apabila mereka mengunjungi gerai-gerai ini,” kata kenyataan itu lagi.

Baucar Deals Near Me merupakan ciri atas talian ke luar talian atau “online-to-offline” (O2O) yang menggunakan perkhidmatan berasaskan lokasi untuk memudahkan para pengguna menemui Baucar ShopeePay yang disediakan para peniaga berhampiran mereka termasuk gerai bazar, kafe, restoran, dan penyedia perkhidmatan.

Mengulas mengenai inisiatif ini, Ketua ShopeePay Malaysia Alain Yee berkata, pasaran e-dagang Malaysia berkembang dengan mantap, penggunaan kaedah pembayaran digital oleh pengguna juga turut menunjukkan peningkatan.

“Kami komited untuk menyokong dan mendigitalkan perniagaan, serta menghubungkan mereka dengan pelanggan baru sambil memperkasakan mereka untuk terus berkembang dan berjaya di platform kami,” katanya lagi.

Syarikat e-dagang Shopee sering melakukan inisiatif melalui aplikasi e-dompetnya, ShopeePay di mana ia banyak memberikan pulangan kepada peniaga-peniaga yang menggunakan platform tersebut dalam perniagaan mereka.

Ia termasuk menerima peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk menggunakan platform tersebut ketika ramai peniaga tidak dapat membuka perniagaan di bazar Ramadan dan perayaan ekoran perintah kawalan pergerakan dilaksanakan bagi membendung pandemik Covid-19.