Tuesday, November 30, 2021

PRS perlukan panglima, kata penganalisis susulan pemergian Masing

Parti Rakyat Sarawak perlu bersatu menjelang pilihan raya negeri yang dijangka tidak lama lagi, tetapi sukar untuk mencari pengganti Masing, kata mereka.

Other News

Lebih daripada sebelum ini, orang Dayak dijangka memberi perhatian kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) berikutan kematian pemimpin veterannya James Jemut Masing selain perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang semakin hampir.

Ketika penghormatan terakhir kepada presiden PRS itu masih diberikan, persoalan siapa yang bakal mengambil tempatnya sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh turut menjadi perbualan hangat.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis berkata pemimpin PRS akan berada di bawah tekanan hebat bagi mengekalkan 11 kerusi DUN, termasuk Baleh, pada PRN akan datang.

“PRS dan wakil rakyatnya serta calon berpotensi akan berdepan dengan lawan mereka tanpa panglima dalam pilihan raya akan datang,” kata penganalisis politik Sarawak Jayum Jawan.

“Ia seperti membiarkan serigala masuk ke dalam kandang biri-biri,” katanya sambil menambah kepimpinan sementara PRS mesti mengukuhkan sokongannya dalam kalangan akar umbi menjelang PRN akan datang.

Masing yang merupakan timbalan ketua menteri Sarawak, meninggal dunia pada 31 Oktober.

Pemimpin negeri berusia 72 tahun itu merupakan wakil rakyat Baleh sejak 1983.

James Chin dari Universiti Tasmania, Australia berkata bagi memilih calon untuk menggantikan Masing bukan satu perkara yang mudah.

“Amat sukar bagi mereka mencari seorang pengganti Masing di Baleh melainkan dia mempunyai kaitan dengan Masing, dan sudah tentu orang itu mesti menggalakkan lebih banyak kebebasan,” katanya.

“Impak terbesar (kematiannya), sudah tentu berlaku di Baleh di mana beliau adalah penyandang Adun sejak beberapa penggal lalu.”

Negarawan veteran itu mempertahankan kerusinya selama lapan penggal, ia bermakna selama 38 tahun pengundinya tidak mengenali mana-mana pemimpin politik lain yang boleh mewakili mereka.

Dengan kekosongan kerusinya, Jayum berkata PRS mesti menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi PRN.

Beliau turut mengingatkan sebarang pertikaian dalaman ketika ini boleh memecah belahkan kaum Dayak.

“Persaingan untuk merebut kepimpinan PRS akan memecah belahkan parti itu,” katanya sambil memetik pengalaman Parti Bansa Dayak Sarawak selepas Leo Moggie meletakkan jawatan sebagai presiden.

Moggie, presiden pengasas PBDS, meletak jawatan pada 2001 kerana beliau mempertimbangkan dirinya untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) yang dijadualkan pada 2004.

Keputusan tersebut menyaksikan kemunculan dua puak dalam parti, satu kumpulan diketuai Masing yang mendapat sokongan Taib Mahmud, dan kumpulan lain diketuai Daniel Tajem, penyandang timbalan presiden yang mendapat sokongan Moggie.

“Sejarah mungkin berulang dengan PRS,” kata Jayum.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PRS Joseph Salang berkata beliau hanya akan memangku sebagai pemimpin parti untuk tempoh sementara.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata jawatan presiden akan kekal dikosongkan.

Berhubung dakwaan wujud perebutan kuasa dalam PRS, beliau berkata masih terlalu awal untuk majlis tertinggi parti membincangkan isu siapakan yang akan menggantikan Masing.

Bagaimanapun, PRS adalah sebuah parti yang tidak asing dengan pertikaian dalaman ekoran latar penubuhannya yang merupakan serpihan PBDS.

Masing, yang terkenal dengan sikapnya yang lantang bersuara, mencabar Daniel Tajem bagi jawatan presiden pada 2003 yang menyebabkan kepada perpecahan sehingga akhirnya, parti itu dibubarkan pada 2004.

Selepas PRS ditubuhkan pada akhir tahun itu, Masing menggulingkan pengasas bersama parti itu Sng Chee Hua untuk mengambil alih kepimpinan.

Masing mula dilantik menganggotai Kabinet negeri pada 1994.

Beliau mendaki tangga pentadbiran sehingga menjadi menteri kanan sebelum dilantik sebagai timbalan ketua menteri pada 2017.

Beliau lama berkhidmat untuk masyarakat Dayak, termasuk dalam isu hak tanah adat anak negeri sehingga penempatan dalam perkhidmatan awam, perniagaan dan institusi pengajian tinggi.

Dengan keluasan pengaruhnya itu, ketika ini pemimpin yang setara sukar dicari bagi menggantikan beliau.

Tambahan lagi, persoalannya yang terus berlegar adalah apakah sokongan Dayak akan dapat diraih penggantinya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles