Sunday, December 5, 2021

Mahkamah tolak rayuan ibu mualaf kembalikan status masuk Islam 2 anak

Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes guru tadika M Indira Ghandi.

Other News

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang ibu yang mualaf dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua kanak-kanak.

Panel tiga hakim yang diketuai hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusan sebulat suara berkata Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes guru tadika M Indira Ghandi.

“Kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ini terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.

“Kami mendapati tiada kesilapan rayuan oleh yang arif hakim Mahkamah Tinggi. Oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini. Kedua-dua rayuan ditolak. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim Mohamad Zabidin pada prosiding secara maya hari ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah S Nantha Balan dan Nordin Hassan.

Pada 16 Oktober 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh bapa kepada kanak-kanak itu, seorang penganut Buddha, untuk membatalkan perakuan penukaran agama Islam secara unilateral terhadap dua anaknya yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil oleh wanita tersebut, yang beragama Buddha ketika itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Azizah Nawawi ketika itu (sekarang hakim Mahkamah Rayuan) berkata tidak menjadi pertikaian bahawa sijil pertukaran agama kanak-kanak itu dikeluarkan tanpa kebenaran bapa kanak-kanak berkenaan.

Hakim Azizah berkata beliau terikat dengan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada Januari 2018 yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.

Dalam kes Indira, seorang ibu beragama Hindu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang sama untuk mencabar tindakan bekas suaminya seorang mualaf yang telah membuat penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya.

Dalam prosiding hari ini, bapa kepada dua kanak-kanak itu telah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama dua anaknya yang memeluk agama Islam pada Mei 2016, tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Identiti keluarga itu tidak didedahkan selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pada 21 Mei 2018.

Pada 14 September 2018 Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh kepada si bapa, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberikan hak penjagaan kepada si ibu.

Perintah itu kekal selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan si ibu untuk kebenaran mengemukakan rayuan.

Peguam Nizam Bashir mewakili pendaftar mualaf, manakala peguam kanan persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mewakili ketua pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, ketua pengarah kementerian pendidikan dan kerajaan.

Peguam K. Shanmuga mewakili si bapa, manakala peguam Arham Rahimy Hariri mewakili ibu mualaf itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles