- Iklan -
Berita

Peguam Shafee bakal terbang ke AS selepas mahkamah kembalikan pasport

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikan kebenaran untuk melakukan perjalanan ke New York bagi urusan pendaftaran anaknya di sebuah universiti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu. Gambar: Bernama
Peguam Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu. Gambar: Bernama

Peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah hari ini menjadi individu terbaru diberikan kebenaran untuk melakukan perjalanan ke luar negara, menyusuli beberapa individu lain yang berdepan pelbagai pertuduhan jenayah kewangan di mana pasport dikembalikan bagi membolehkan mereka menyelesaikan urusan peribadi.

Shafee yang berdepan pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM9.5 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak diberikan kebenaran tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membolehkan beliau melakukan perjalanan ke luar negara hingga 3 Disember depan.

Dalam permohonannya, Shafee berkata beliau perlu melakukan perjalanan ke luar negara bagi menyelesaikan urusan pendaftaran pengajian anaknya di The New School Parson, New York di Amerika Syarikat (AS).

Awal bulan ini, permohonan untuk mendapatkan semula pasport oleh Najib dan isterinya Rosmah Mansor turut dibenarkan mahkamah bagi membolehkan mereka ke Singapura untuk menemani anak perempuannya yang bakal bersalin anak kedua pada November.

Najib kemudian berkata beliau perlu menangguhkan perjalanannya kerana perlu membantu Umno menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan pada 20 November.

Beliau berkata dirinya diamanahkan oleh presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemudi parti bagi PRN tersebut.

Zahid yang berdepan pertuduhan jenayah juga turut diberikan kebenaran untuk mendapatkan pasport beliau bagi membolehkannya ke Jerman untuk menjalani rawatan sakit belakang.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Najib pula disabitkan bersalah pada Julai tahun lalu bagi tujuh kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau juga turut dibicarakan kerana menggunakan kedudukannya, mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi mengelak tindakan dikenakan ke atas beliau.

Rosmah pula berdepan tiga pertuduhan berkenaan projek solar hibrid dan penyelenggaraan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.