- Iklan -
Berita

Dr M persoal tujuan PRN Melaka

Pengerusi Pejuang itu berkata kerajaan persekutuan dan negeri tidak lagi menumpukan isu kesejahteraan negara.

Danisyah Dalily
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad bersama pimpinan Pejuang ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Mahathir Mohamad bersama pimpinan Pejuang ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan titik tolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mengatakannya sebagai permainan politik yang bertujuan melindungi mereka yang mahu berkuasa.

Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, pengerusi Pejuang itu berkata keadaan politik dalam negara ketika ini penuh dengan kecelaruan.

“Macam-macam peraturan dibuat. Mereka yang buat salah tak dihukum dan mereka yang tak buat apa-apa dikenakan tindakan.

“Masalah yang kita hadapi sekarang ialah pentadbiran kerajaan di Malaysia, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, sudah tidak lagi fokus pada kesejahteraan negara,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata PRN Melaka bertujuan untuk menaikkan orang tertentu dan menjatuhkan orang lain tanpa sebab.

“Tidak ada guna adakan pilihan raya kerana rakyat tidak mendapat faedah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pejuang tidak akan bertanding dalam PRN Melaka pada 20 November selain turut turut mempersoalkan sejauh mana SOP dapat membendung penularan virus Covid-19.

“Saya percaya walaupun kita ada arahan jangan pergi ke Melaka dan macam-macam lagi, tetapi saya percaya orang kita ini jenis yang tak patuh kepada arahan, terutama sekali ketika pilihan raya,” katanya sambil memetik contoh PRN Sabah yang diadakan pada September tahun lepas di mana angka kes Covid- 19 mula melonjak secara mendadak.

Beliau turut mempersoalkan SOP yang melarang parti politik melaksanakan aktiviti berkempen.

“Saya tak tahu macam mana mereka nak berkempen kalau tak dapat bercakap dengan orang sebab kalau kita nak bercakap dengan orang kita kena ada dekat dengan orang.

“Ini satu perbuatan yang mungkin mencetuskan banyak lagi masalah, masalah Covid mungkin akan berkembang,” katanya.