- Iklan -
Berita

PN mungkin bertanding semua kerusi dalam PRN Melaka

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata calon bukan menjadi masalah kepada gabungan itu kerana ia memiliki ramai pemimpin yang layak untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini berkata kemungkinan besar gabungan yang dipimpin beliau itu akan bertanding di kesemua 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan.

Bercakap dalam sidang media di Bukit Gambir, beliau berkata PN memiliki ramai pemimpin yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Ia bukan masalah, kita banyak tokoh,” katanya ketika ditanya mengenai calon.

Semalam Muhyiddin berkata PN sedia untuk bertanding tiga penjuru dalam PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan, sambil berkata gabungan itu telah memulakan persediaan untuk menghadapinya.

Beliau berkata PAS dan Gerakan juga turut bersetuju untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru jika perlu.

Pengumuman Muhyiddin ini susulan daripada pendirian yang tidak jelas daripada Barisan Nasional (BN) khususnya Umno berhubung strategi berdepan PRN Melaka.

Perhimpunan Agung Umno awal tahun ini sebulat suara untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga turut berkata keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu telah dipersetujui ketika perhimpunan tersebut sewaktu merujuk keputusan Umno untuk bergerak solo.

“Untuk Bersatu kita telah buat keputusan. Kita tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.. noktah. Tak lambat dah.. dulu dah..masa Perhimpunan Agung Umno kita dah buat keputusan kita.

“Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Bercakap hari ini, Muhyiddin berkata beliau sudah menjangkakan respons sedemikian dari Zahid.

“Saya dah baca banyak kenyataan dan keputusan Umno sebelum ini, dan keputusan-keputusan mereka sejak perhimpunan agung lagi. Tapi sebagai tindakan berhemah, di peringkat awal kita nak lihat dulu.

“Tapi kalau dah begitu keputusan mereka, katanya tak mahu kerjasama, dan itu adalah fakta. Seperti yang saya cakap semalam, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya dalam apa saja bentuk, sama ada tiga penjuru atau empat penjuru atau dua penjuru. Itu tak jadi masalah bagi kita.”