Wednesday, October 13, 2021

Mahkamah lepas pasport Zahid untuk rawatan sakit belakang di Jerman

Pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Zahid yang ditetapkan pada 22 Oktober depan.

Other News

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung sistem visa luar negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

Permohonan itu dibuat pagi ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa.

Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Zahid itu memaklumkan permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.

“Kita memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. yang kat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Ahmad Zaidi berkata pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Zahid yang ditetapkan pada 22 Oktober depan.

Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian dalam negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Pada 7 Oktober lepas, media melaporkan Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya yang menderita sakit belakang dan leher perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

Hamidi memaklumkan Zahid memohon pasportnya diserahkan pada 26 Oktober ini dan akan memulangkanya pada 21 November depan.

Dalam pada itu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah turut membenarkan permohonan Zahid untuk mendapatkan pasportnya bagi tujuan sama.

“Permohonan ini dibenarkan dengan syarat ada penjamin tambahan. Hanya untuk kejelasan, tujuannya ialah untuk menjalani pembedahan dan lokasinya adalah terhad kepada Jerman,” katanya.

Presiden Umno itu telah memohon pelepasan sementara pasportnya pada 26 Okt untuk berlepas ke Jerman dan dijangka kembali ke tanah air pada 21 November.

Sequerah adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles