Monday, October 18, 2021

Kenaikan yuran pengajian perlu rasional, kata kumpulan pelajar UM

KMUM yakin mahasiswa akan terima kenaikan yuran sekiranya mempunyai justifikasi.

Other News

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) menyemak semula peratusan peningkatan yuran pengajian supaya ia dilaksanakan secara rasional.

KMUM dalam satu kenyataan, berkata kesatuan itu yakin mahasiswa UM akan bersikap rasional dalam menerima kenaikan yuran pengajian ekoran peningkatan kos ditambah dengan inflasi yang harus ditanggung oleh pihak universiti.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan yuran tersebut mestilah dijalankan secara ansuran, rasional dan bukan dikenakan secara spesifik terhadap sesuatu program tanpa sebarang justifikasi.

“Sebagai contoh, kenaikan terhadap sarjana muda perakaunan setinggi 128%
boleh dikatakan melampau sehingga menjadikan ia lebih mahal berbanding dengan program sains.

“KMUM menggesa agar pihak pengurusan universiti memandang serius akan masalah ini dengan menangguhkan dan menyemak semula peratusan peningkatan yuran pengajian atas rasional ini dan bukan sahaja atas alasan kebajikan pelajar semasa Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, KMUM menyambut baik keputusan pihak pengurusan UM menangguhkan kenaikan yuran pengajian bagi sesi akademik 2021/2022 yang telah diumumkan baru-baru ini.

Katanya, kesatuan itu juga menyokong keputusan pihak pengurusan yang bersetuju untuk menerima wakil KMUM ke Jawatankuasa Yuran Universiti (JYU) supaya dapat mengambil bahagian dalam perbincangan berkaitan kenaikan yuran pengajian pada masa hadapan.

Jelasnya, mahasiswa UM berhak mengetahui tentang perincian kenaikan yuran pengajian, sejajar dengan prinsip ketelusan dan akan memberi pemahaman kepada pelajar mengenai operasi universiti.

“KMUM difahamkan, sebelum sebarang cadangan kenaikan yuran pengajian diserahkan kepada JYU akan ada satu kajian dijalankan sebuah jawatankuasa khas untuk menunjukkan sebab dan rasional mengapa ia perlu dilakukan.

“KMUM percaya, penemuan laporan tersebut seharusnya diumumkan dan dipaparkan untuk tatapan mahasiswa dan mahasiswi UM supaya mereka dapat memahami rasional di sebalik kadar kenaikan program tersebut,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, KMUM mendakwa terdapat kenaikan yuran pengajian Sarjana Muda Perakaunan sebanyak 128% dari RM7,860 kepada RM17,900 manakala Sarjana Muda Kewangan meningkat 43% iaitu RM9,740 kepada RM13,900.

Sarjana muda usuluddin dan sarjana muda syariah pula mengalami pertambahan 38% (RM8,960 kepada RM12,400).

Susulan itu, UM bersetuju untuk menangguhkan kenaikan yuran pengajian setelah mengkaji semula kepentingan dan kebajikan pelajar.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles