- Iklan -
Berita

Malaysia catat kematian bulanan tertinggi ketika kerajaan petik isu ‘backlog’

Angka kematian pada September menyumbang lebih satu pertiga dari 26,335 kes kematian keseluruhan dalam negara.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Walaupun Malaysia merekodkan purata harian sebanyak 322 kes kematian Covid-19 pada September, namun kematian harian sebenar hanya sebanyak 89 pada Khamis berdasarkan purata tujuh hari.
Walaupun Malaysia merekodkan purata harian sebanyak 322 kes kematian Covid-19 pada September, namun kematian harian sebenar hanya sebanyak 89 pada Khamis berdasarkan purata tujuh hari.

Malaysia merekodkan 9,671 kematian akibat Covid-19 pada September, satu tempoh yang paling banyak mencatatkan kes kematian sejak pandemik melanda, menurut data kerajaan pada Jumaat ketika pihak berkuasa menjelaskan peningkatan tersebut berpunca daripada tunggakan bilangan kematian yang dicatatkan daripada beberapa bulan sebelumnya.

Peningkatan tersebut menjadikan jumlah kematian dalam negara adalah antara yang paling tinggi secara per kapita di Asia walaupun kes jangkitan baru dilihat semakin berkurangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas program vaksinasi semakin meningkat.

Angka kematian pada September menyumbang lebih dari satu pertiga daripada keseluruhan 26,335 kes kematian yang dilaporkan di Malaysia yang setakat ini mencatat lebih 2.2 juta jangkitan, angka ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, pegawai kesihatan kementerian berkata laporan sekian banyak kematian tertangguh di mana sebahagiannya lebih daripada beberapa bulan adalah berpunca daripada kesesakan makmal ujian dan hospital ekoran peningkatan kes.

Pada September, kementerian mula mengeluarkan kes harian mengikut waktu kematian, selain tarikh laporan mengenainya dibuat dalam usaha menambah baik ketelusan dan menjelaskan kes-kes yang tertunggak.

Walaupun Malaysia merekodkan purata harian sebanyak 322 kes kematian Covid-19 pada September, namun kematian harian sebenar hanya sebanyak 89 pada Khamis berdasarkan purata tujuh hari, menurut data tersebut.

Pihak berkuasa beikrar untuk mengurangkan tunggakan kes tersebut dengan menggariskan had masa bagi hospital memastikan punca kematian.

Kematian yang tidak dilaporakan sebelum ini mendedahkan beberapa jurang sistem walaupun Malaysia adalah negara yang memiliki program vaksinasi paling laju di Asia Tenggara, kata pakar penyakit berjangkit dari Universiti Malaya Adeeba Kamarulzaman kepada Reuters.

Ia termasuk kadar vaksinasi yang tidak selari di beberapa negeri, kekurangan pemantauan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri selain akses terhadap penjagaan kesihatan dalam kalangan pendatang asing tanpa dokumen, katanya.

“Ramai dalam kalangan populasi pendatang asing kurang maklumat tentang penyakit ini atau takut untuk tampil bagi penjagaan kesihatan kerana takut ditahan,” kata Adeeba.

Malaysia turut mempunyai kadar tinggi obesiti, diabetes and darah tinggi terutama dalam kalangan remaja yang meningkatkan risiko mereka untuk dijangkiti Covid-19, tambahnya.

Sekitar 62% populasi Malaysia yang berjumlah 32 juta orang kini lengkap divaksinasi termasuk 86% dewasa.

Malaysia turut memulakan program inokulasi remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun bulan lalu.