- Iklan -
Berita

Kanak-kanak 3 tahun disahkan kes positif Covid-19 pertama gelembung pelancongan Langkawi

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othwan Warjo berkata kanak-kanak tersebut mungkin dijangkiti sebelum berlepas ke Langkawi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suhu badan pelancong disaring ketika mereka tiba di Langkawi di bawah program gelembung pelancong. Gambar: Bernama
Suhu badan pelancong disaring ketika mereka tiba di Langkawi di bawah program gelembung pelancong. Gambar: Bernama

Jabatan Kesihatan Kedah (JKK) hari ini mengesahkan terdapat satu kes positif Covid-19 melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dalam kalangan pelancong di Langkawi, menjadikan ia sebagai kes pertama melibatkan pelancong selepas gelembung pelancongan dilancarkan pada 16 September lalu.

Dalam sebuah kenyataan, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warjo berkata kes tersebut telah didaftarkan dan diklasifikasi sebagai kes import B (kes rentas negeri).

“Hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, kes merupakan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

“Kes bersama ibu dan ayahnya tiba di Langkawi pada 24 September 2021, dalam jam 7.30 malam dengan menaiki penerbangan dari LapanganTerbang Antarabangsa 2 (KLIA2),” katanya.

Othman turut berkata ibu dan ayah kanak-kanak tersebut telah mendapat vaksinasi lengkap dan bukan kes positif Covid-19 atau kontak rapat selain tidak bergejala.

Mereka juga dilaporkan telah menjalani ujian saringan RTK-Antigen menggunakan air liur sebelum berlepas ke Langkawi dan disahkan negatif.

Bagaimanapun, pada 25 September, kanak-kanak tersebut mengalami demam dan dibawa mendapatkan rawatan pada keesokan hari dan disahkan positif Covid-19.

Menurut Othman, siasatan mendapati selain ibu dan ayah kes, terdapat tiga orang saudara yang merupakan penduduk tempatan Langkawi menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak tersebut.

“Hasil siasatan juga mendapati, kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak ini berlaku sebelum beliau melancong ke Langkawi. Siasatan lanjut dan pengesanan kontak rapat masih diteruskan.”