- Iklan -
Berita

Syed Saddiq gesa kerajaan luluskan tanaman ‘hemp’ bagi tujuan perubatan

Beliau turut menggesa jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji penanaman hemp bagi tujuan perubatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Penanaman ganja jenis hemp telah dibenarkan di kebanyakan negara termasuk negara jiran Thailand bagi tujuan perubatan atau rekreasi. Gambar: AP
Penanaman ganja jenis hemp telah dibenarkan di kebanyakan negara termasuk negara jiran Thailand bagi tujuan perubatan atau rekreasi. Gambar: AP

Kerajaan digesa membentangkan kertas kerja kajian tanaman dan penggunaan hemp bagi tujuan perubatan seperti mana yang telah dilakukan beberapa negara lain, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut bekas menteri belia dan sukan itu, kajian tersebut mesti berpandukan data and sains berkenaan kebaikan dan keburukan untuk meluluskan industri itu.

“Di lebih 40 negara pada hari ini, kelulusan ‘hemp’ untuk tujuan perubatan telah pun diberikan di AS, Australia, Argentina, Denmark dan baru-baru ini negara jiran kita, Thailand. Nilai pasaran terkini (industri hemp) adalah sebanyak RM16 bilion dan dianggarkan pada empat tahun lagi mencecah RM400 bilion.

“Kita tak mahu Malaysia ketinggalan lagi dalam perbincangan hal ini hanya kerana ia sensitif, walhal kajian berdasarkan data dan sains menunjukkan arak dan rokok jauh lebih berbahaya daripada industri ini,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, hemp boleh digunakan sebagai perubatan alternatif untuk membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental seperti penyakit bipolar.

Menurut Saddiq, kerajaan wajar mengadakan satu jawatankuasa khas yang melibatkan pelbagai pihak untuk meluluskan penanaman hemp bagi tujuan perubatan.

Menurut bekas menteri kesihatan, Dr Adham Baba, sehingga September tahun lalu penanaman hemp masih lagi tertakluk di bawah akta dadah.

Pada 2019, menteri kesihatan ketika itu Dzulkefli Ahmad mengumumkan kerajaan membenarkan penanaman hemp yang merupakan sejenis pohon ganja daripada spesis Cannabis Sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut masih tertakluk di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana menteri kesihatan mempunyai kuasa untuk memberi izin penanaman hemp, untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.