- Iklan -
Berita

KM Sarawak gesa Putrajaya guna pendekatan pembangunan ekonomi berasaskan wilayah

Menurut Abang Johari Openg saiz negeri Sarawak adalah besar, maka struktur ekonomi negeri ini berlainan berbanding semenanjung.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Unit Komunikasi Awam Sarawak
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Unit Komunikasi Awam Sarawak

Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan pendekatan pembangunan ekonomi baharu yang berasaskan wilayah semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan merujuk semula kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata ini kerana saiz negeri Sarawak adalah besar, maka struktur ekonomi negeri ini juga berlainan berbanding semenanjung.

“Kita (Sarawak) berasaskan kepada sumber dan keunikan…jadi sebab itu saya katakan ada berhubung kait dengan MA63 yang mengatakan Malaysia terbentuk daripada tiga wilayah sebab dahulu adalah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Jadi pendekatan ekonomi kita mesti berteraskan wilayah dan ia berlainan kalau mengikut negeri kita (Sarawak)…kawasan Baram sebesar Pahang, jadi diikutkan mesti diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas pengumuman berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

Jelas Abang Johari, buat masa ini pendekatan ekonomi masih menggunakan pendekatan lama yang menbahagikan peruntukan pembangunan mengikut negeri-negeri.

Dalam pengumuman RMK12, Ismail antara lain turut berkata kerajaan persekutuan komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak dalam MA63, termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.