- Iklan -
Berita

Orang kampung tak peduli soal rasuah, kata bekas setpol Najib

Oh Ei Sun berkata kembalinya bekas perdana menteri dalam politik akan bergantung kepada kempen perhubungan awam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengudi di Pahang berbaris untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum 2013. Gambar: AP
Pengudi di Pahang berbaris untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum 2013. Gambar: AP

Seorang ahli akademik berpangkalan di Singapura yang pernah berkhidmat sebagai pembantu Najib Razak berkata pengundi di kawasan pedalaman masih tidak peduli soal rasuah, mengatakan ia mampu menjadi faktor ahli politik terpalit skandal itu untuk kembali aktif dalam politik.

Oh Ei Sun bahkan mendakwa mereka yang tinggal di kawasan pedalaman masih mempunyai “pemikiran yang feudalistik” dan tidak peduli soal rasuah berbanding penduduk bandar.

“Bagi mereka semua ini skandal, pada pandangan kita itu adalah satu hal yang sangat negatif,” katanya dalam temu bual BFM hari ini.

“Namun bagi sesetengah rakan senegara kita, semua gambaran yang menunjukkan kemewahan dan perkara demikian sebenarnya merupakan simbol pemimpin berkenaan sangat berkemampuan,” kata Oh, bekas setiausaha politik Najib yang kini berkhidmat dengan Singapore Institute of International Affairs.

Beliau ditanya mengenai peluang Najib untuk bangkit dalam arena politik selepas tumbang daripada kuasa pada 2018, di mana bekas perdana menteri itu kemudiannya disiasat, dan menerima pertuduhan dan disabtikan dengan pelbagai kesalahan rasuah.

Pada Julai tahun lalu, Najib didapati bersalah atas kesalahan rasuah dan dihukum 12 tahun penjara berhubung skandal berkaitan 1MDB.

Dalam temubual bersama Reuters baru-baru ini, Najib tidak menolak beliau akan kembali bertanding pilihan raya umum walaupun disabitkan kesalahan di mahkamah.

Oh berkata kes-kes rasuah yang masih dihadapi Najib adalah “hal yang paling kecil dalam pertimbangan” penduduk di kawasan pedalaman.

“Bagi mereka apa yang penting adalan ekonomi dan bantuan sosial,” katanya dan menambah Umno boleh berjaya dalam pilihan raya akan datang berdasarkan bantuan yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam belanjawan yang bakal dibentangkan.

Beliau turut berkata sebarang usaha Najib untuk kembali berpengaruh dalam arena politik akan bergantung dengan kemampuannya mengurus “pasukan perhubungan awam yang baik” bagi terus menggambarkan dirinya sebagai pembela masyarakat bawahan.