- Iklan -
Berita

Putrajaya setuju laksana vaksinasi dos ketiga

Suntikan dos ketiga itu akan diberikan selepas populasi dewasa lengkap vaksin mencapai 80%.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak menunjukan dos pada picagari sebelum memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada penduduk orang asli suku Temuan di Hulu Langat.
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak menunjukan dos pada picagari sebelum memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada penduduk orang asli suku Temuan di Hulu Langat.

Putrajaya bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 selepas 80% populasi dewasa menerima vaksinasi lengkap.

Dalam sebuah kenyataan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pemberian vaksinasi penggalak itu akan melibatkan beberapa kumpulan.

“Keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.”

Ismail berkata suntikan dos ketiga akan meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM471.6 juta bagi meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu, sekaligus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus Covid-19.

Keluarga yang menerima Inisiatif Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) itu akan menerima pengagihan pek pelitup muka guna semula, kit ujian kendiri Covid-19, satu pulse oximeter, termometer dan risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

Setakat semalam, 18,295,014 individu atau 78.2% daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.1% atau 21,938,426 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 232,559 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 73,106 dos pertama dan 159,453 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 40,155,975 dos.