- Iklan -
Berita

Gabungan kumpulan alam sekitar selar Selangor, gesa boikot pembangunan daripada penebangan hutan

Kawasan HSKLU adalah penting untuk mengekalkan biodiversiti negara, menyediakan sumber air selamat, mengurangkan banjir dan membantu perubahan iklim.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk tempatan suku Temuan, Ramlan Koyok berjalan menyusuri Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Seorang penduduk tempatan suku Temuan, Ramlan Koyok berjalan menyusuri Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Gabungan kumpulan alam sekitar hari ini menyelar keputusan kerajaan Selangor berhubung pindah milik ratusan hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kepada pemaju swasta, menggesa institusi perbankan dan orang ramai untuk tidak terlibat dalam pelaburan di kawasan yang dimajukan daripada tindakan menebang hutan.

Gabungan Malaysian Environmental NGOs (Mengo) yang terdiri daripada lebih sepuluh kumpulan aktivis alam sekitar itu turut menggesa kerajaan negeri menjelaskan dakwaan kawasan seluas 530 hektar yang diberikan kepada syarikat swasta tersebut direndahkan nilainya, mengatakan ketika ini usaha untuk mengekalkan biodiversiti alam sekitar adalah kritikal.

“Kawasan HSKLU adalah hutan paya tanah gambut, dengan beberapa kawasan kecil hutan pamah diptrokarpa.

“Kawasan paya tanah gambut adalah penting untuk mengekalkan biodiversiti, menyediakan sumber air selamat, mengurangkan banjir dan membantu perubahan iklim,” kata gabungan tersebut.

Gabungan NGO itu juga berkata anggota sekutunya turut menghadiri pendengaran awam tahun lalu untuk menyuarakan bantahan mereka berkenaan isu tersebut.

“Jika kawasan itu tetap dinyahwartakan juga, Mengo gesa pelabur-pelabur dan institusi kewangan untuk elak daripada menyediakan modal kewangan kepada mereka untuk bangunkan kawasan tersebut,” katanya.

Mengo menambah orang ramai harus “mengelakkan diri daripada membeli atau menyewa hartanah yang dibangunkan di kawasan tersebut”.

“Sama juga bagi jenama perumahan terkenal, mereka tidak seharusnya letakkan produk mereka di kawasan komersial yang dicemari dengan tindakan melanggar usaha pemuliharaan alam dan pembangunan lestari yang sangat dekat dengan kita sebagai rakyat Malaysia,” tambahnya.

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerajaan negeri diketuai PKR itu menyahwartakan lebih dari 530 hektar HSKLU bagi dimajukan syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd.

HSKLU diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13% sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.

Mengo juga berkata bagi menggantikan kehilangan hutan simpan yang diwartakan, kerajaan Selangor berkata 589 hektar tanah di Sabak Bernam, Hulu selangor dipilih untuk gantian kepada penyahwartaan tersebut.

“Kami mendukung idea hutan negeri itu seharusnya diwartakan, namun bukan diwartakan sebagai gantian HSKLU,” katanya.

Mengo menggesa kerajaan untuk menarik semula keputusan tersebut dan mewartakan kembali kawsan HSKLU sebagai hutan simpan selain menghentikan sebagai penebangan hutan di Selangor.

“Ketika impak krisis perubahan iklim dialami seluruh dunia, negeri terkaya di Malaysia ambil langkah mundur ke belakang dengan menukar hutan untuk dibangunkan.

“Bahkan, sepatutnya Selangor perlu main peranan lebih aktif meningkatkan liputan hutan dan perlindungannya,” kata gabungan itu dan menambah dengan 31% liputan hutan yang dimiliki Selangor, negeri itu memiliki peratusan jauh lebih rendah daripada sasaran kebangsaan sebanyak 50% liputan hutan.