- Iklan -
Berita

Angkatan tentera mobilisasi aset pertingkat usaha perangi Covid-19

Hishammuddin Hussein berkata angkatan tentera sedia membantu kementerian kesihatan untuk membina hospital lapangan bagi merawat pesakit Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama

Angkatan tentera sudah bersiap sedia untuk membantu kementerian kesihatan membina hospital lapangan dalam usaha merawat mangsa-mangsa Covid-19 selain meningkatkan vaksinasi di kawasan pedalaman, kata Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata langkah tersebut akan mempercepatkan lagi usaha memerangi pandemik memandangkan kes harian yang tinggi di sekurang-kurangnya lima negeri, selain dapat memastikan keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian rakyat ketika negara kini bakal memasuki fasa endemik virus Covid-19.

“Keberadaan tentera sekarang ini bukan untuk perang dengan sesiapa.

“Jika tentera diperlukan dalam situasi endemik, saya tak fikir ia akan menjadi masalah,” katanya kepada pemberita ditemani Panglima Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) Affendi Buang.

Beliau berkata tentera bersenjata memiliki infrastruktur yang mencukupi, pakar-pakar dan aset yang sedia dimobilisasi pada bila-bila masa.

Katanya, hospital lapangan boleh digunakan untuk merawat pesakit Kategori Tiga di lima negeri paling terkesan dengan virus itu termasuk Sabah, Johor, Kedah, Penang dan Kelantan.

“Saya percaya bantuan ATM ini akan berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri-negeri berkenaan.”

Hishammuddin berkata beliau mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai, mengatakan cadangan-cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tiada sesiapa yang boleh mendabik dada mengatakan mereka mempunyai formula terbaik untuk memerangi Covid-19,” katanya.

Beliau bertkata pasukan vaksinasi tentera juga akan turut dimobilisasi untuk membantu pegawai-pegawai kesihatan untuk masuk ke kawasan-kawasan pedalaman selain melaksanakan rancangan vaksinasi pandu lalu yang baru-baru ini dibenarkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Affendi berkata pembinaan hospital lapangan boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu.