Saturday, September 25, 2021

Sultan Kelantan dukacita berita negatif tular bantutkan usaha bendung Covid-19

Sultan Muhammad mahu gerakan yang mendatangkan banyak konflik dan menyusahkan kehidupan rakyat mesti dihentikan.

Other News

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap mereka yang menyebarkan berita negatif di platform media sosial sehingga membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19.

Sultan Muhammad V bertitah pada pengamatan baginda, pemberian suntikan vaksin adalah kaedah yang tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada Covid-19 yang terus mengancam kehidupan.

“Hentikanlah gerakan yang boleh mendatangkan banyak konflik, yang boleh menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan.

“Apa juga polemik dan konflik yang tercetus akan menjejaskan penumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik dan perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam titah ucapan diraja yang dibacakan oleh Menteri Besar Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 hari ini.

Sultan Muhammad V bertitah sebagai langkah segera, kerajaan Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM33.52 juta pada 2020 dan RM18.77 juta pada 2021 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Ini, adalah tindakan yang tepat seperti sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap DUN, Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif yang telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan wabak Covid-19 di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.

“Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang sememangnya terkesan dengan pandemik Covid-19,” titah baginda.

Persidangan DUN Kelantan ditangguhkan dan bersambung pada 9 pagi esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles