- Iklan -
Berita

Kerajaan baru mesti kekalkan dasar sedia ada dalam perang melawan Covid-19, kata Agong

Agong berkata ia termasuk program vaksinasi kebangsaan dan usaha mencapai imuniti kelompok dalam negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan membuat pemeriksaan dos vaksin pada picagari dengan berlatar belakang bendera Malaysia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, di Cheras
Petugas kesihatan membuat pemeriksaan dos vaksin pada picagari dengan berlatar belakang bendera Malaysia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, di Cheras

Dalam sebuah peringatan kepada ahli-ahli politik bahawa rakyat tidak boleh dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, Yang di-Pertuan Agong berharap sebarang kerajaan baru yang ditubuhkan akan mengekalkan dasar-dasar dan usaha dalam melawan pandemik Covid-19.

“Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara perlu dikekalkan,” kata Istana Negara dalam sebuah kenyataan menyimpulkan nasihat yang diberikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada pemimpin parti politik semalam.

Istana Negara turut berkata Agong juga turut memberitahu ahli-ahli Parlimen bahawa perdana menteri baru akan dipilih berdasarkan Perlembagaan.

Beliau berkata ahli-ahli Parlimen perlu berkhidmat dengan dengan penuh kejujuran demi kemaslahatan rakyat.

“Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit Covid-19 baru setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan,” katanya.

Istana turut berkata kemelut politik memberikan kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, dan demi kemasalahatan dan keselamatan rakyat, pilihan raya umum tidak menjadi pilihan sebagai jalan keluarnya.

Beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan ketika Malaysia mula menunjukkan penularan signifikan wabak Covid-19.

Keputusan tersebut memaksa kerajaan untuk membelanjakan bilion ringgit dalam pelbagai pakej rangsangan bagi membantu perniagaan dan pekerja dalam melangsungkan kehidupan ketika berdepan dengan impak daripada langkah-langkah membendung pandemik.

Kerajaan sebelum ini juga berjaya menjalankan program vaksinasi besar-besaran yang kini mencapai 35% populasi negara lengkap divaksinasi selain kadar vaksinasi hariannya telah mendapat pujian antarabangsa.

Muhyiddin turut memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara, dengan matlamat utamanya untuk membuka semula sektor ekonomi dan aktiviti sosial dapat dijalankan seperti biasa.