- Iklan -
Berita

PM ke istana ketika negara bergelut dengan satu lagi drama politik

Spekulasi terus beredar bahawa Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan hari ini bagi membolehkan Agong melantik perdana menteri baru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Polis berkawal di sekitar pintu masuk Istana Negara sementara petugas media menantikan berita terbaru. Gambar: Bernama
Polis berkawal di sekitar pintu masuk Istana Negara sementara petugas media menantikan berita terbaru. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meninggalkan Putrajaya menuju ke Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong ketika rakyat mengikuti secara dekat perkembangan baru politik Malaysia yang menjadi satu lagi episod mengujakan sejak tumbangnya kerajaan tahun lalu.

Muhyiddin hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet selama 90 minit yang dispekulasi menjadi mesyuarat terakhir kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mereka turut mengadakan sesi bergambar seperti kebiasaan satu-satu kerajaan itu bersedia untuk dapatkan mandat baru atau berundur,” kata satu sumber kepada MalaysiaNow.

Terdapat spekulasi hebat mengatakan Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan beliau hari ini bagi membolehkan Agong melantik perdana menteri yang baru.

Perkembangun terbaru ini adalah susulan penolakan terhadap tawaran beliau yang menjemput ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan persefahaman rentas parti, di mana ia menjanjikan pembaharuan-pembaharuan penting sebagai pertukaran sokongan bagi usul undi percaya yang dijadualkan akan dibentang Muhyiddin pada September depan.

Walaupun mendapat tekanan daripada pembangkang supaya Muhyiddin meletakkan jawatan, namun tiada individu yang dipercayai mendapat sokongan majoriti bagi membolehkan dilantik menjadi perdana menteri.

Hal ini berpunca daripada perpecahan dan pertelagahan lama yang wujud antara pemimpin-pemimpin pembangkang selain penglibatan sekumpulan ahli Parlimen yang dikenali sebagai kluster mahkamah.

Difahamkan, blok pembangkang termasuk Anwar Ibrahim yang merupakan calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) gagal mendapatkan sokongan majoriti, dan mungkin hanya dapat berpuas hati dengan sokongan dari ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini berdepan ratusan pertuduhan rasuah.