- Iklan -
Berita

Tony Pua jelaskan mengapa pembangkang perlu pertimbang tawaran PM

Pandangan ahli Parlimen Damansara bertentangan dengan keputusan Pakatan Harapan untuk menolak tawaran Muhyiddin Yassin.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Damansara Tony Pua. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menggesa ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk mempertimbangkan tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pertukaran sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), mengatakan mereka boleh mencapai sebahagian matlamat perjuangan selain boleh menyekat pemimpin Umno kembali berkuasa.

“Mari kita teliti potensi (tawaran) itu demi manfaat buat rakyat – kita dapat akhiri kemelut politik dan kebuntuan yang kita hadapi; kita dapat sekat kleptokrat daripada kembali berkuasa; kita dapat elak pilihan raya umum berlaku ketika wabak menular; kita boleh buat kerajaan PN laksanakan reform yang tidak ternilai; kita juga dapat suara dalam proses kelulusan semua rang undang-undang; dan akhirnya nanti, kita boleh keluarkan PN daripada kerajaan dalam PRU yang akan diadakan sekitar 10 bulan lagi,” kata Pua dalam satu kenyataan yang beliau sifatkan akan “membuat ramai orang tidak senang”.

Istilah “kleptokrat” merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah.

Kumpulan itu termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang merupakan pemimpin utama menggerakkan kempen untuk menggulingkan Muhyiddin.

Pua berkata, walaupun mahu Muhyiddin digulingkan, bagaimanapun hakikatnya alternatif yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) iaitu Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pua memberi amaran mengenai tiga kemungkinan yang akan terjadi: kekacauan politik, “kleptokrat” kembali bebas kerana Umno kembali berkuasa, dan pilihan raya umum.

Beliau berkata jika PH gagal mendapatkan majoriti untuk Anwar, pembangkang harus “berikan pertimbangan sepenuhnya” terhadap tawaran Muhyiddin tersebut.

“Dia minta untuk semua parti pembangkang untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan perkara di atas. Sekurang-kurangnya kita mesti setuju untuk hadiri mesyuarat tersebut. Apa pun, ada banyak manfaat untuk rakyat dan tidak rugi (untuk bertemu), ” tambahnya.

Pandangan Pua tersebut adalah selari dengan pendapat seorang lagi Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming, yang mengatakan cadangan Muhyiddin harus dibincangkan parti-parti politik.

Bahkan sebelum ucapan Muhyiddin hari ini, Ong yang merupakan ahli Parlimen Bangi menggesa sebuah moratorium politik diadakan selain cadangan yang membolehkan semua pihak bekerjasama.

“Sekiranya cadangannya signifikan, saya yakin pengundi di kawasan saya mahu saya minta pemimpin-pemimpin parti dan gabungan politik saya untuk sekurang-kurangnya mempertimbangkan cadangan tersebut,” kata Ong.

Pandangan dua ahli Parlimen tersebut adalah berbeza dengan sikap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang tetap bersama dengan Anwar dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, menolak tawaran Muhyiddin dan menyifatkannya sebagai sebuah bentuk “rasuah”.

Muhyiddin dalam ucapannya hari ini menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.

Pua turut berkata sukar untuk menolak tawaran dari Muhyiddin tersebut.

“Mari kita berterus-terang sahaja. Cadangan Muhyiddin bukan hal yang kecil. Beliau menawarkan beberapa perkara (yang mengejutkan) mengenai reformasi dwi partisan yang sangat-sangat diperlukan negara,” tambahnya.

Menurut Pua, beliau yakin tawaran itu adalah ikhlas kerana kerajaan sememangnya memerlukan sokongan pembangkang.

“Sebilangan rakan saya mengatakan kerajaan PN lemah dan terdesak, sebab itulah sekarang mereka buat tawaran ini. Sekiranya mereka kuat, mengapa mereka perlu buat tawaran?

“Jika benar mereka memang lemah dan terdesak, bukankah itu waktu terbaik untuk berunding dengan mereka?” kata Pua.