- Iklan -
Berita

‘Keresahan perpisahan’ perlu ditangani menjelang pembukaan sekolah, kata pakar

Ibu bapa perlu urus keadaan psikologi anak-anak bagi menyediakan mereka untuk bersekolah semula selepas beberapa bulan di rumah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru memujuk murid yang sedang menangis dengan memberi gula-gula di hadapan pintu masuk Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang pada Mac lalu.
Seorang guru memujuk murid yang sedang menangis dengan memberi gula-gula di hadapan pintu masuk Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang pada Mac lalu.

Pakar memberi amaran bahawa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan langkah kesihatan yang menyebabkan sekolah ditutup dan anak-anak terpaksa berada di rumah bersama ibu bapa untuk beberapa bulan bakal mengakibatkan keresahan perpisahan atau “separation anxiety” yang lebih kuat daripada keadaan biasa menjelang pembukaan sekolah, kata pakar.

Pensyarah kanan jabatan psikologi Universiti Islam Antarabangsa, Suriati Sidek berkata keresahan perpisahan menyebabkan kanak-kanak berada dalam keadaan gelisah dan bimbang apabila berpisah dengan ibu bapa atau individu yang rapat dengan mereka.

Katanya, kanak-kanak tidak tahu cara menzahirkan perasaan yang dalam ketakutan ketika berpisah.

“Anda cuba bayangkan situasi anak kecil yang ditinggalkan dengan individu yang baru dikenali dan asing buat mereka, sudah pasti ianya menghadirkan keresahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jadi, kanak-kanak yang mengalami keresahan pemisahan ini akan menzahirkan keresahan dalam bentuk tingkah laku, iaitu dengan menangis atau mengamuk, dan memeluk erat seolah-olah tidak mahu melepaskan ibu-bapa apabila mula-mula berpisah.

“Ibu-bapa tidak perlu khuatir kerana keresahan pemisahan ini adalah salah satu ‘milestone’ yang normal bagi perkembangan anak-anak.”

Sepanjang tahun ini, kebanyakan murid terpaksa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan hanya calon peperiksaan dibenarkan belajar secara bersemuka.

Selain itu, keadaan berbeza apabila ada sekolah dibuka di negeri-negeri tertentu.

Sekolah di bawah kelolaan kementerian pendidikan (KPM) dijangka dibuka semula pada September ini.

Bagaimanapun, Suriati berkata ibu bapa perlu risau jika tingkah laku akibat daripada keresahan pemisahan itu sangat keterlaluan daripada biasa, dan sekiranya berlaku, ia perlu dirujuk segera kepada pakar.

Katanya, keadaan psikologi itu lebih memberikan kesan kepada kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah memandangkan perkembangan sosial dan emosi bagi dalam lingkungan usia itu masih memerlukan keberadaan ibu bapa.

Katanya, kebarangkalian ia berlaku semasa pembukaan sekolah lebih kecil pada peringkat umur tujuh hingga 12 tahun.

“Ibu bapa boleh kerap memberitahu anak-anak dengan bahasa yang mudah mengenai situasi lockdown adalah sementara dan mereka akan kembali ke taska, pra-sekolah atau sekolah tidak lama lagi.

“Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka perlu menerangkan kepada anak-anak yang mereka juga perlu kembali ke pejabat untuk meneruskan kerja seperti biasa.

“Apabila adanya penerangan sebegini dengan kerap, anak-anak akan lama-kelamaan menerima dan faham, dan informasi ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan pemisahan kelak kerana anak lebih bersedia,” katanya.

Guru juga boleh memainkan peranan penting dalam menguruskan keresahan perpisahan anak-anak dengan memberikan sedikit masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri, katanya.

Menurut Suriati, pada peringkat permulaan, guru boleh mengambil hati murid dengan membuat aktiviti “bonding” terutama untuk anak-anak di taska dan tadika.

“Bagi anak-anak yang bersekolah pula, para guru disarankan untuk memulakan kelas dengan sesi santai seperti bersembang mengenai aktiviti yang dibuat di rumah sepanjang lockdown, sebelum meneruskan silibus pembelajaran.”

Katanya, keadaan psikologi, kemahiran sosial anak-anak juga antara yang terkesan dengan penutupan sekolah.

Suriati menasihatkan ibu bapa agar tidak perlu risau secara berlebihan mengenai prestasi anak-anak kerana semua pihak terkesan dalam isu pendidikan.

“Ibu bapa tidak perlu terlalu menekankan prestasi akademik sebagai kayu ukur kejayaan anak-anak pada masa pandemik ini kerana suasana di rumah agak berbeza dengan suasana di sekolah.

“Jangan mengundang tekanan kerana harus diingatkan, kita bukan sahaja perlu mengurus emosi anak-anak saya sudah lama duduk di rumah, malah emosi sendiri juga penting untuk diurus dengan baik.”