- Iklan -
Berita

Kini Zahid tingkatkan tekanan terhadap ahli Umno pegang jawatan GLC

Usaha menghubungi ahli-ahli Umno yang memegang jawatan GLC di peringkat persekutuan dan negeri giat dijalankan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Pemimpin Umno yang dilantik sebagai ketua dan ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didesak untuk segera meletakkan jawatan mereka dalam usaha Ahmad Zahid Hamidi memisahkan Umno dari terus bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), MalaysiaNow difahamkan.

Satu sumber dalaman Umno memaklumkan usaha tergesa-gesa beberapa orang kuat Zahid untuk berhubung secara peribadi dengan ratusan ahli Umno di seluruh negara yang memegang jawatan GLC di peringkat persekutuan dan negeri.

“Beliau berharap kali ini, akan ada kesan domino selepas gagal mendapat sokongan ahli Parlimen Umno, Adun dan pemimpin bahagian melepaskan jawatan dalam GLC susulan pendirian yang diambil Jazlan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow, merujuk kepada Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub yang mengundurkan diri sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Januari lalu.

Sejak akhir tahun lalu, Zahid dan bekas presiden Umno Najib Razak mendesak ahli Umno untuk meletakkan jawatan GLC sebagai sebahagian usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Umno berkaa semua lantikan GLC dalam kalangan Umno akan meletakkan jawatan pada bulan Ogos.

Jawatan-jawatan dalam GLC memberikan kelebihan dan elaun kepada pemegangnya, ia digunakan oleh kerajaan-kerjaan yang ditubuhkan dalam negara bagi mengukuhkan kedudukan mereka selain memastikan kawalan dalam sektor ekonomi.

Di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, perdana menteri sebelum ini, Najib memiliki kawalan yang besar untuk memilih seseorang bagi memegang jawatan dalam GLC melalui portfolio beliau di kementerian kewangan yang sangat berpengaruh dalam syarikat-syarikat korporat.

Penguasaan kerajaan terhadap badan korporat bagaimanapun hanya mengalami perubahan kecil di bawah kerajaan Pakatan Harapan walaupun janji reformasi disuarakan mereka sewaktu pilihan raya umum lalu, dengan kawalan GLC sebahagian besarnya dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri, puluhan individu yang dikaitkan dengan ahli-ahli politik dilantik ke jawatan kanan dalam kerajaan.

Melalui syarikat pengurusan dana kerajaan Permodalan Nasional Berhad dan Khazanah Nasional, di mana kedua-duanya di bawah kawalan PMO, kerajaan memiliki beberapa entiti korporat terbesar dan paling menguntungkan termasuk beberapa buah bank, syarikat utiliti, minyak dan gas, selain syarikat-syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan.

Antara GLC persekutuan yang diketuai oleh ahli Umno ketika ini termasuk UDA Holding (Jalaluddin Alias), Syarikat Perumahan Negara Berhad (Hasbullah Osman), Perbadanan PR1MA Malaysia (Shahidan Kassim), Amanah Raya Berhad (Ramli Mohd Nor), Tenaga Nasional (Mahdzir Khalid), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, Risda (Salim Sharif), Lembaga Getah Malaysia (Ahmad Nazlan Idris), Boustead Holding (Mohamed Khaled Nordin) dan MyIPO (Mohamad Alamin).

Selain Jazlan yang meletakkan jawatannya di MPOB, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman telah dipecat dari Prasarana Malaysia pada Mei lalu susulan sidang media kontroversinya.

“Kesemua syarikat ini mengawal berbilion ringgit dan puluhan ribu pekerja. Tidak ada jaminan mereka ini dapat dilantik kembali dalam syarikat-syarikat tersebut sekiranya ada perubahan kerajaan,” kata sumber Umno kepada MalaysiaNow.