Monday, September 20, 2021

Doktor swasta dakwa wujud ‘sogokan’ dalam pemerolehan vaksin

Musa menyasarkan menteri kesihatan dan menteri penyelaras PICK dalam forum bersama Dr Mahathir dan Rafidah Aziz hari ini.

Other News

Seorang doktor hospital swasta melancarkan serangan terhadap program vaksinasi Covid-19 Malaysia, menuduh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) bukan sahaja menguruskan pandemik secara “flip flop” bahkan mengamalkan rasuah.

Dr Musa Nordin juga mempersoalkan mengapa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), pihak berkuasa kelulusan ubat-ubatan di bawah kementerian kesihatan masih belum memberikan lampu hijau mengenai vaksin Moderna.

“Sekiranya anda mahukan jawapan ringkas, saya boleh katakan, saya rasa, tidak cukup sogokan,” kata Musa yang merupakan pakar kanak-kanak di KPJ Damansara, memberitahu forum maya bersama Dr Mahathir Mohamad dan Rafidah Aziz hari ini.

Musa, yang turut dinamakan oleh Mahathir sebagai ahli majlis pemulihan negara yang mahu ditubuhkan beliau turut dilihat menyasarkan Menteri Kesihatan Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang bersama-sama mempengerusikan JKJAV.

Beliau berkata kedua-dua menteri itu salah dalam meramalkan jumlah dos vaksin yang dapat diberikan pada peringkat awal program imunisasi Februari lalu.

Walaupun mengakui kadar tinggi vaksinasi Malaysia, yang ketika ini mengungguli carta tertinggi di dunia, Musa bagaimanapun berkata Malaysia kini sedang berdepan varian Delta.

Beliau mengkritik apa yang disifatkan sebagai dasar “flip flop” dari JKJAV mengenai pemberian vaksin kepada remaja, selain isu pemerolehan vaksin Sinovac.

Musa mendakwa vaksin Sinovac tidak berkesan dalam melawan varian Delta, mengatakan penerima vaksin buatan China itu harus diberi suntikan booster vaksin tanpa ditangguh lagi.

“Masalah JKJAV ini adalah sikap tunggu dan lihat mereka,” katanya.

Tahun lalu, Musa yang merupakan penyokong kuat pemimpin Pakatan Harapan dan aktif dengan NGO Islam yang mempunyai hubungan dengan ahli Parlimen pembangkang menuduh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah gagal melindungi barisan hadapan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Ulasan beliau itu telah dikecam orang ramai dan doktor-doktor veteran.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles