Thursday, July 29, 2021

Ibu tabah teruskan hidup selepas anak terkorban akibat Covid-19

Anak bongsu yang menjaganya selama ini tewas akibat Covid-19 selepas dua minggu bertarung di hospital.

Other News

Sudah menjadi kebiasaan sejak kebelakangan ini, Mohd Kamil Affendy Hashim akan dimasukkan ke di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan matanya.

Ibunya, Aminah Ibrahim juga sudah lali dengan keadaan anaknya yang perlu berulang-alik ke hospital atau klinik.

Namun, pemergian anaknya pada hujung bulan lepas tidak disangka Aminah akan menjadi yang terakhir untuk Kamil yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Pada awalnya, Kamil yang mesra dipanggil Eddie itu hanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan mata.

Setelah lebih seminggu ditahan, Eddie memaklumkan kepada ibunya menerusi satu panggilan telefon dia dijangkiti Covid-19.

“Pukul 3 pagi dia call bagitahu makcik, mak… doktor bagi tahu saya ada Covid.

“Bila dia sebut sahaja perkataan Covid itu, tuhan sahaja yang tahu (perasaan makcik),” katanya kepada MalaysiaNow.

Makcik Aminah turut melawat anaknya untuk menghantar makanan kepada Eddie sebelum dia disahkan dijangkiti Covid-19.

Sebelum itu anaknya mengadu tiada selera makan.

“Dia ada pesan jangan datang hospital, tapi makcik datang juga nak bagi piza.

“Ketika dia sedang sakit pun dia ada pesan kepada saya jangan buat kerja berat. Jangan sapu sampah di luar rumah, takut terjatuh longkang,” katanya.

Eddie menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 Julai lalu.

Allahyarham Mohd Kamil Affendy Hashim atau Eddie di dalam teksi yang tidak lagi digunakan selepas penglihatannya semakin teruk. MalaysiaNow sempat menemui Eddie pada Mei lalu.

Makcik Aminah diberitahu oleh anak keduanya yang juga kakak Eddie menerusi satu panggilan telefon.

“Pagi itu angah telefon meminta makcik bersabar. Eddie sudah tiada.

“Angah yang menguruskan semuanya sehingga urusan pengkebumian,” katanya.

Kini berusia 74 tahun, makcik Aminah tinggal bersendirian untuk meneruskan kehidupan.

Dia bersyukur kerana mempunyai jiran-jiran yang prihatin.

Setiap hari mereka akan datang menghantar makanan kepadanya.

Mengimbau kembali, wanita itu berkata Eddie merupakan anak yang baik dan kuat.

Meskipun berstatus OKU, dia tidak pernah berhenti mencari kerja selepas tidak boleh lagi mendapatkan mata pencarian sebagai pemandu teksi akibat sakit mata yang dihadapinya.

Dia juga tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawab kewangannya meskipun berdepan dengan cabaran kewangan sendiri.

“Makcik ada tanya tuan rumah, ada tak bayaran sewa yang tertunggak?

“Tuan rumah kata tiada, awal bulan lagi Eddie sudah bayar.”

Dia hanya mampu meluahkan perasaan di laman Facebooknya selain ibunya yang menjadi teman sedia mendengar keluhan Eddie.

MalaysiaNow sebelum ini pernah melaporkan keadaan lelaki itu yang mempunyai penyakit bilateral optic neuritis.

Kasih Eddie pada haiwan juga dibawa sampai ke liang lahad.

Dua beranak itu membela beberapa ekor kucing jalanan atau kucing yang dibuang orang.

“Nak dekat dia meninggal dia tanya, kucing macam mana? Makanan kucing macam mana? Makcik kata tak payah risau, dah beli makanan kucing.”

Makcik Aminah berkata, dia tidak mahu berpindah dan ingin meneruskan kehidupan di rumah itu bersama kucing-kucing kesayangan Eddie dengan sisa kudrat yang ada.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles