- Iklan -
Berita

NGO gesa kerajaan Selangor utamakan pemberian vaksin kurangkan risiko jangkitan

Setiausaha PKN Selangor menyeru kerajaan Selangor mencontohi pentadbiran pembangkang di Pulau Pinang yang bekerja secara efisien dengan kerajaan pusat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberikan vaksin kepada orang ramai di pusat pemberian vaksin (PPV).
Petugas kesihatan memberikan vaksin kepada orang ramai di pusat pemberian vaksin (PPV).

Badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara (PKN) menggesa kerajaan Selangor mengutamakan usaha pemberian vaksin berbanding program saringan besar-besaran yang dilaksanakan di negeri itu bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Setiausaha PKN Selangor Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee berkata program vaksinasi negeri itu mampu menjadi lebih efisien.

“Kerajaan negeri Selangor tidak seharusnya membazirkan duit rakyat Selangor untuk program saringan memandangkan pemberian vaksin adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shazlee turut mempersoalkan mengapa Selangor tidak mengambil contoh kerajaan Pulau Pinang yang turut ditadbir pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang mampu menjalankan pemberian vaksin secara cepat dan tersusun dengan kerjasama kerajaan persekutuan.

“Saya percaya, melalui pengurusan yang lebih sistematik, perkara ini adalah tidak mustahil.

“Apa yang penting adalah untuk kerajaan Selangor mengenepikan perbezaan politik dan menjadikan kesihatan rakyat Selangor sebagai fokus terutama dalam pentadbiran hari ini,” katanya.

Ulasan Shazlee hari ini juga adalah susulan daripada pertikaian yang timbul mengenai kos vaksin untuk pekerja industri di bawah program Pikas yang dilancarkan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri yang hanya mengenakan caj sebanyak RM45 bagi setiap pekerja.

Sementara di bawah program vaksinasi industri Selangor yakni Selvax, kos suntikan lengkap dua dos seorang pekerja adalah sebanyak RM350.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya Haniza Talha pada hari Sabtu telah mendesak Menteri Besar Amirudin Shari untuk mengkaji semula caj yang dikenakan tersebut, mengatakan harga itu terlalu tinggi dan akan melambatkan usaha untuk negeri itu mencapai imuniti kelompok.

Haniza, juga berkata harga tersebut jelas membebankan pihak majikan yang perlu mengeluarkan kos suntikan bagi pekerja masing-masing.

“Dalam situasi pandemik yang mencabar ini, adalah tidak wajar mana-mana pihak mengambil kesempatan dan meraih keuntungan berlipatganda daripadanya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Amirudin sebelum ini berkata bahawa caj yang lebih tinggi itu adalah berikutan kos-kos lain termasuk pembayaran kakitangan dan pusat vaksinasi.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.