- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen BN ikrar sokong Muhyiddin, ketepi presiden Umno

Ahli Parlimen BN mahu menumpukan usaha selesaikan krisis kesihatan dan ekonomi, bukan percaturan politik.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan logo Umno di PWTC, KL. Gambar: Bernama
Gambar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan logo Umno di PWTC, KL. Gambar: Bernama

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terdiri dari Umno, MCA dan MIC hari ini mengumumkan kesepakatan mereka untuk kekal menyokong Muhyiddin Yassin, sehari selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno menarik semula sokongan kepada perdana menteri.

“Dalam keadaan negera sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik.

“Sehubungan dengan itu, ahli-ahli Parlimen menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan mereka di luar saluran BN, ahli-ahli Parlimen berkata pendirian mereka selari dengan kelonggaran yang diberikan Majlis Kerja Tertinggi Umno, membenarkan mereka untuk memutuskan sama ada menarik semula sokongan atau tidak terhadap Muhyiddin.

BN memiliki 41 ahli Parlimen termasuk Zahid, bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa orang lagi ahli Parlimen yang lantang menyerang Muhyiddin.

Dalam pengumuman pagi tadi, Zahid berkata Muhyiddin gagal memenuhi syarat yang ditetapkan parti itu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

“Umno mendesar agar Muhyiddin dapat berundur diri secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik bagi tempoh yang terhad,” katanya.

Zahid mendakwa kerajaan telah gagal menguruskan krisis Covid-19, menuduh proklamasi darurat digunakan untuk kepentingan politik sehingga menjejaskan ekonomi negara.

Bagaimanapun, difahamkan majoriti besar ahli Parlimen Umno tetap dengan keputusan mereka untuk tidak menarik sokongan terhadap Muhyiddin walaupun Zahid mengeluarkan kenyataan tersebut.

MalaysiaNow turut melaporkan Zahid telah memberikan kebenaran kepada ahli Parlimen itu pilihan sama ada untuk kekal bersama kerajaan walaupun Umno menarik sokongannya terhadap Muhyiddin, namun kenyataannya pagi tadi tidak menyatakan perkara ini.